Search This Blog

Saturday, November 23, 2013

Wanita warga emas disamun, dibunuh


BATU PAHAT 22 Nov. - Seorang warga emas berusia 74 tahun mati dipercayai akibat dipukul dengan objek keras oleh penjenayah yang memecah masuk kedai runcitnya di Taman Banang di sini pagi ini.
Low Pow Ling ditemui di dalam setor di belakang premis pukul 9.20 pagi oleh ahli keluarganya yang datang selepas bimbang kerana mangsa tidak menjawab panggilan telefon beberapa jam sebelum itu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, semasa ahli keluarganya sampai, mereka memanggil mangsa beberapa kali tetapi tiada jawapan lalu memecahkan pintu premis.
"Hasil pemeriksaan menemukan mangsa telah mati di dalam setor. Siasatan awal mangsa dipercayai disamun berdasarkan keadaan kaunter sedikit berselerak dan kesan pecah di bahagian siling kedai.
"Ketika ditemui mangsa dalam keadaan terbaring dengan luka di bahagian kepala, dipercayai dipukul menggunakan kayu. Motif dipercayai samun dan bunuh," katanya ketika dihubungi di sini.
Din seterusnya memberitahu, siasatan kes itu masih diteruskan dan saksi yang melihat atau mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.
Seorang ahli keluarga mangsa yang mahu dikenali sebagai Teo, 45, berkata, dia dan ahli keluarganya ada menghubungi mangsa seperti biasa kira-kira pukul 6.30 pagi tetapi tidak berjawab.
"Kami datang dan setibanya di tempat kejadian, kami memanggil mangsa dan mengetuk pintu tetapi juga tiada jawapan lalu memecahkan pintu kedai.
"Seorang daripada kami kemudian menjumpai mangsa di bilik setor di bahagian belakang kedai dengan keadaan kepalanya yang berdarah," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131123/je_06/Wanita-warga-emas-disamun-dibunuh#ixzz2lSTsP1xQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment