Search This Blog

Monday, November 25, 2013

Wang simpanan balik kampung hangus

Wang simpanan balik kampung hangusRumah yang didiami mangsa musnah dalam sekelip mata.

BUKIT KATIL - Sudah jatuh ditimpa tangga. Itulah yang boleh digambarkan dengan nasib seorang warga emas di sini, apabila bukan sahaja kehilangan rumah dalam satu kebakaran malah duit berjumlah RM4,000 yang dikumpulkan untuk pulang ke kampungnya di Kuching, Sarawak pada 4 Disember nanti juga  hangus.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam kelmarin, Siti Aishah Hamid, 60, berada di rumah keseorangan kerana suaminya menghadiri majlis tahlil di rumah jiran.

Malah tindakan pantasnya yang bertindak keluar dari rumahnya sejurus mendengar bunyi letupan berjaya menyelamatkannya daripada terperangkap.

Siti Aishah Hamid, 60, berkata, ketika kejadian, dia sedang menonton televisyen sendirian sebelum terdengar bunyi letupan kuat dari bahagian atas ruang tamu rumah kira-kira jam 8.30 malam kelmarin.

Menurutnya, dia yang pada mulanya menyangka bunyi berkenaan berpunca dari kucing, terus naik ke atas untuk melihat apa yang berlaku sebelum ternampak kepulan asap hitam.

"Selepas itu, saya yang agak panik terus berlari keluar dari rumah tanpa mengambil apa-apa barang berharga sebelum menghubungi suami,” katanya.

Siti Aishah dan keluarganya tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang didiami bersama enam lagi ahli keluarga sejak 15 tahun lalu musnah.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil Mohd Wabil Mohd Dali berkata, bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8.47 malam.

Menurutnya, ketika anggota bomba tiba, rumah itu sudah terbakar sepenuhnya.

"Api dipadamkan secara keseluruhan kira-kira jam 9 malam dan siasatan awal mendapati rumah tersebut terbakar hampir 80 peratus," katanya.

Sebanyak tiga jentera iaitu dua dari balai bomba bukit Katil dan sebuah dari Ayer Keroh membabitkan 16 anggota.

No comments:

Post a Comment