Search This Blog

Wednesday, November 13, 2013

Wajah lelaki beri salam


Kuantan: Polis mengambil kira semua maklumat termasuk disiarkan di laman sosial bagi membantu menyelesaikan kes pembunuhan Ketua Penolong Pengarah Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Ahmad Rafli Abdul Malek, Ahad lalu.
Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata, polis sudah mengambil keterangan semua pihak termasuk memantau maklumat ‘kecil’ di laman sosial. 
“Kami ambil kira semua maklumat, walaupun ada antaranya nampak kecil seperti di laman sosial, ia tetap berperanan membantu siasatan kes ini,” katanya selepas mengedarkan lakaran wajah seorang daripada suspek kes pembunuhan terbabit, di sini, semalam. 

Beliau berkata, menerusi lakaran itu, polis yakin ia dapat membantu mempercepatkan penyelesaian kes terbabit.
Foto
SHARIFUDDIN menunjukkan lakaran wajah suspek.

“Ia lakaran wajah suspek yang datang ke rumah mangsa dan memberi salam sebelum seorang lagi rakannya melepaskan tembakan. Lakaran ini 70 peratus tepat berdasarkan maklumat yang kami kumpul sehingga kini.

“Suspek berbangsa Melayu, bertubuh sasa, berkulit sawo matang, rambut dan misai beruban serta berusia lingkungan 55 tahun. Lakaran ini kami akan edarkan kepada ketua komuniti bagi membantu meluaskan rangkaian maklumat,” katanya. 

Ditanya mengenai kesahihan dakwaan kononnya ada pihak ternampak kereta suspek di kawasan Pekan, Sharifuddin berkata, perkara itu tidak benar dan polis masih mengumpul maklumat untuk mengesan lokasi suspek. 

Beliau berkata, polis tidak mengetepikan banyak kemungkinan termasuk kes itu mempunyai kaitan dengan ajaran sesat Tuhan Harun yang dikendalikan mangsa. 

“Kami siasat daripada semua sudut termasuk peribadi dan penguatkuasaan yang dilaksanakan mangsa. Bagaimanapun mangsa tidak pernah membuat laporan polis berkaitan sebarang ugutan,” katanya. 

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Zukri Muhammad di talian 013-9764999 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di talian 09-5652222 atau talian hotline 09-5142999 atau mana-mana balai polis berhampiran. 

Dalam kejadian jam 1.50 petang Ahad lalu, Ahmad Raffli, 49, meninggal dunia di depan kediamannya di Indera Mahkota, di sini, selepas terkena dua daripada tiga das tembakan dilepaskan suspek yang datang ke rumahnya. 

No comments:

Post a Comment