Search This Blog

Wednesday, November 13, 2013

UPP rampas 100kg daun ketum

UPP rampas 100kg daun ketumSuspek bersama daun ketum yang dirampas.

PADANG BESAR - Tindakan mengangkut sendiri empat guni besar berisi daun ketum membawa padah, apabila lelaki warga Thailand berkenaan dicekup Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) di kawasan kebun getah Chuping, di sini, kelmarin.

Menurut Komander UPP Chuping, Asisten Superintendan Syed Basri Syed Ali, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, lelaki berusia 20 tahun itu ditahan ketika cuba merentasi pintu pagar sempadan dengan menaiki motosikal.
“Suspek ditahan sebaik sahaja motosikalnya terbabas akibat membawa muatan daun ketum seberat 100 kilogram iaitu kira-kira satu kilometer dari pagar sempadan di kawasan kebun berkenaan.

“Dia dipercayai telah memotong pagar sempadan untuk masuk ke negara ini dan mahu pulang ke negaranya melalui jalan yang sama dengan harapan dapat menjual daun ketum tersebut dengan harga yang lebih tinggi,” katanya di sini semalam.

Kata Syed Basri, daun ketum tersebut dianggarkan bernilai RM10,000 dipercayai dibeli oleh lelaki terbabit dari pembekal tempatan.

"Suspek yang tidak mempunyai sebarang pengenalan diri dan dokumen perjalanan yang sah itu sanggup membahayakan diri dengan mengangkut sendiri daun ketum bagi mengurangkan kos menggunakan orang tengah," katanya.

Katanya, daun ketum yang dirampas kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis (IPD) Padang Besar untuk tindakan lanjut.

“Lelaki itu kini ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Suspek juga turut akan disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah. Jika sabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” jelas beliau.

No comments:

Post a Comment