Search This Blog

Monday, November 25, 2013

Tukang gunting cedera ditetak pelanggan


PULAU PINANG 24 Nov. - Biasanya selepas menggunting rambut pelanggan, seorang warga India yang dikenali sebagai Semanathan, 30-an mendapat upah namun sebaliknya berlaku pada Jumaat lalu.
Apa yang terjadi pada hari tersebut, dia ditetak dengan kapak oleh seorang pelanggannya.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 5.30 petang apabila pelanggan lelaki tersebut masuk ke dalam sebuah kedai gunting di Desa Mutiara Indah, Batu Maung di sini.
Selesai menggunting rambut, suspek memberitahu rakannya akan datang untuk membayar upah kepada Semanathan lalu duduk di dalam kedai berkenaan untuk menunggu.
Selepas 15 minit, suspek tiba-tiba meminta sejumlah wang tetapi Semanathan enggan berbuat demikian.
Tindakan Semanathan itu menyebabkan suspek berang lalu mengeluarkan sebilah kapak kecil berukuran kira-kira 30 sentimeter dan menetak kepala serta belakang badan mangsa.
Suspek kemudian melarikan diri dengan sebuah motosikal. Mangsa yang kesakitan tidak sempat melihat nombor pendaftaran motosikal suspek, cuma dapat mengecam jenisnya iaitu Modenas Kriss berwarna hijau.
Mangsa kemudian dibawa ke hospital dan menerima 30 jahitan di kepala, bahu serta mengalami luka pada tangannya.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritendan Mohd. Hatta Mohd. Zin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek pernah menggunting rambut di kedai sama pada bulan lalu.
"Tiada CCTV (kamera litar tertutup) dipasang di kedai itu dan tiada juga saksi berikutan kedai lain yang terletak berhampiran tutup.
"Polis akan mengeluarkan lakaran wajah suspek bagi mendapatkan maklumat lanjut daripada orang ramai," katanya.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan semasa menyamun.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131125/je_04/Tukang-gunting-cedera-ditetak-pelanggan#ixzz2leP8vjJh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment