RAWANG - Tiga kilang sekitar Sg Bakau dekat sini diserbu Majlis Perbandaran Selayang (MPS) selepas dipercayai menyumbang kepada pencemaran Sungai Kundang.
Selain MPS, anggota Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Jabatan Alam Sekitar (Jas), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kesihatan Gombak, polis, bomba dan Jabatan Veterinar turut terlibat dalam operasi tersebut.
Kilang pemprosesan daging babi, kilang tauhu kering dan kilang baik pulih dan pembersihan tong terpakai diserbu selepas mendapati kesemuanya mengalirkan sisa terus ke sungai berhampiran.
Ketua Operasi, C Paramasivam berkata, dua kilang beroperasi tanpa permit sementara sebuah lagi mempunyai lesen tetapi akan ditarik selepas didapati terdapat bahan kimia dibuang terus ke sungai.
Menurutnya, dua notis perobohan dan 16 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dari aspek bangunan, kesihatan dan lesen perniagaan.
“Kilang pemprosesan daging babi didapati beroperasi di tanah pertanian dan melakukan aktiviti penyembelihan di kawasan itu hasil penemuan rangka dan tulang yang ditemui selain usus haiwan direbus sebelum dijadikan makanan ternakan ikan.
“Pemilik kilang menafikan hal penyembelihan sebaliknya mendakwa hanya melakukan proses pembungkusan namun hasil siasatan yang dilakukan anggota mendapati aktiviti penyembelihan dilakukan pada waktu malam,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Kilang tauhu kering yang bersebelahan tempat pemprosesan babi pula didapati tiada lesen perniagaan dan keadaannya kotor serta tidak ditutup selain dikawal dengan banyak anjing.
"Di situ sebanyak enam anjing ditangkap dan sewaktu pemeriksaan dilakukan tiada pekerja berada di lokasi dipercayai menghilangkan diri selepas sedar kehadiran van penguatkuasa.
“Sebanyak enam kompaun pelbagai kesalahan dikeluarkan dan notis perobohan dalam tempoh sebulan juga dikeluarkan,” katanya.
Sementara di kilang ketiga pula, didapati pihak pengurusan melindungi aktiviti pembuangan sisa dengan menutup pintunya dengan menyusun tong-tong besar untuk mengaburi mata pihak penguatkuasa.
“Didapati satu ruang pembersihan tertutup sebelum dibuka dan mendapati terdapat beberapa sambungan longkang yang dialirkan terus ke sungai berhampiran.
“Satu tindakan susulan akan diambil termasuk mengambil sampel kandungan kimia dan tong yang dibersihkan sebagai bahan bukti,” katanya.
Beliau menyifatkan operasi tersebut sebagai berjaya dalam membanteras pencemaran sungai sekitar sini.
No comments:
Post a Comment