Search This Blog

Monday, November 4, 2013

Tiba-tiba jadi 'gila' elak dicekup

Tiba-tiba jadi 'gila' elak dicekupSebahagian daripada pengawal keselamatan asing yang ditahan dalam Operasi 6P di Johor Bahru, kelmarin. Johor Bahru: Operasi 6P di sebuah pusat beli-belah, dekat sini, kecoh seketika apabila seorang pengawal keselamatan warga Nepal berpura-pura tidak waras sejurus ditahan.

Dalam operasi kira-kira jam 2 petang kelmarin, lelaki berusia 30-an itu yang kelihatan tidak menentu sejak daripada awal penahanannya kemudian meracau dan menjerit meminta untuk meminum air longkang bagi menghilangkan dahaganya.
Bagaimanapun, tindakan lelaki itu berjaya ditenangkan anggota Jabatan Imigresen yang berada di situ sebelum dia mendiamkan diri dan kembali ‘normal’.


Ketua Penyelaras Ops Bersepadu 6P Jabatan Imigresen Johor, Masri Adul, berkata lelaki terbabit antara 49 warga asing berusia antara 30 hingga 40-an yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ditahan dalam operasi di dua pusat beli-belah di bandar raya ini.

“Sebaik saja ditahan kerana tidak memiliki permit sah, lelaki itu mula menunjukkan perlakuan seperti orang gila dan tindakannya semakin terserlah apabila mula meracau dan menjerit untuk minum air longkang dan mendakwa sudah biasa minum air longkang.

“Nasib baik anggota Imigresen yang berada di situ berjaya menenangkannya sebelum dia bertindak dengan lebih agresif,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tiada permit kerja sah
Masri berkata, selain lelaki itu, pihaknya menahan 27 warga Nepal, Pakistan (8), Indonesia (7), Myanmar (4) dan masing-masing seorang warga Bangladesh dan Kemboja yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di dua pusat beli-belah berkenaan.

“Semua ditahan kerana tidak memiliki permit kerja yang sah, selain tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri, malah ada antara mereka mengaku berasal dari Sabah ketika ditahan bagi mengelak ditahan pihak berkuasa,” katanya.

Masri berkata, semua yang ditahan dihantar ke Depoh Imigresen Pekan Nanas, Pontian bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen serta Peraturan 17(b) Peraturan-peraturan Imigresen.

“Saya ingin menasihatkan pemilik premis perniagaan terutama di pusat beli-belah supaya tidak menggaji warga asing yang tidak berdaftar sebagai pengawal keselamatan kerana kita tidak mahu kejadian seperti yang menimpa pegawai bank baru-baru ini berulang,” katanya.

No comments:

Post a Comment