Search This Blog

Saturday, November 23, 2013

Temui ajal berhampiran rumah

Temui ajal berhampiran rumahAnggota forensik memeriksa mayat Ainah yang meninggal dunia di tempat kejadian selepas dirempuh sebuah kereta ketika melintas di Jalan Salleh di sini, semalam.

MUAR - Hasrat seorang pesara jururawat memulakan operasi gerai menjual surat khabar seperti biasa tidak kesampaian apabila maut dalam nahas di Jalan Salleh di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi, Ainah Hassan, 71, berjalan kaki dan melintas jalan menuju ke gerainya yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya.

Bagaimanapun setibanya di tempat kejadian, dia dipercayai dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish yang dipandu seorang pemuda dari arah Muar menghala ke Bukit Pasir.

Akibat rempuhan kuat itu, mangsa tercampak kira-kira  50 meter sebelum terperosok ke bawah gerai tempatnya berniaga.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan mayatnya dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini untuk bedah siasat.

Anak bongsu  mangsa, Abdul Halim Mat,42, berkata, dia mengetahui insiden menyayat hati yang menimpa ibunya kira-kira jam 7 pagi selepas menerima panggilan telefon daripada majikan tempat ibunya bekerja.

“Saya menghubungi abang, Bakhtiar memaklumkan perkara itu sebelum bergegas ke tempat kejadian dan lihat ibu sudah meninggal dunia.

“Kali terakhir jumpa ibu petang semalam (kelmarin) semasa datang ke rumahnya.  Ibu tinggal sendirian di rumah ini, manakala saya menetap di Bukit Treh,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Katanya, ibu bekerja menjual surat khabar kira-kira 10 tahun lalu untuk mengisi masa lapangannya selepas bersara dan tidak menyangka ibu meninggal dunia tidak jauh daripada rumah.

Abdul Halim berkata, ibunya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakri Batu 6 selepas solat Jumaat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke HPSF untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments:

Post a Comment