Search This Blog

Wednesday, November 13, 2013

Tanam dadah depan rumah

Tanam dadah depan rumahZulkefly (tengah) menunjukkan dadah jenis heroin yang dijumpai ditanam oleh dua warga Myammar di hadapan rumah sewa mereka.

KULAIJAYA – Taktik sepasang saudara warga Myanmar menyembunyikan dadah dengan menanamnya di hadapan rumah sewa di Kampung baru, di sini akhirnya terbongkar apabila diserbu Bahagian Jenayah Narkotik Kulaijaya, Ahad lalu.

Malah, kedua-dua mereka masih tidak serik walaupun sebelum ini pernah dijatuhkan hukuman denda dan penjara mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Bahaya 1952 kerana kesalahan memiliki dadah.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, dalam serbuan itu, seorang wanita berusia 52 tahun ditahan bersama anak saudaranya berusia 32 tahun selepas polis menemui bungkusan mengandungi dadah jenis heroin.

“Setelah disoal siasat suspek wanita menunjukkan tempat dadah disembunyikan dan kita menjumpai satu peket lut sinar berisi dadah dipercayai jenis heroin dengan berat kasar 183.44 gram.

“Dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM2,400 dan kita percaya dadah itu untuk diedarkan di kawasan berdekatan,” katanya.

Katanya, kedua-dua suspek merupakan pemegang kad Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNCHR) dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Bahaya 1952.

“Kedua-dua mereka masih dalam tahanan reman sehingga 17 November ini dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis morfin.

“Suspek wanita sebelum ini pernah dikenakan denda pada tahun lalu manakala suspek lelaki dikenakan penjara setahun pada 2009 kerana memiliki dadah,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Zulkefly memberitahu sepasang kekasih berusia 46 tahun turut ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Gemilang, di sini membabitkan rampasan dadah bernilai RM6,715.

“Hasil serbuan pihak polis berjaya menemui 324 biji pil ekstasi bernilai kira-kira RM6,500, ketamin bernilai RM165 dan syabu bernilai RM50.

“Kedua-dua mereka yang tidak bekerja dipercayai sudah menjalankan kegiatan mengedar dadah sejak enam bulan lalu dan turut mempunyai rekod lampau kerana memiliki dadah,” katanya.

Katanya, kedua-dua mereka yang didapati positif dadah turut ditahan reman sehingga 15 November ini dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Bahaya 1952.

Manakala seorang pengusaha restoran berusia 27 tahun turut ditahan di kawasan Taman Mesra Saleng, kelmarin kerana kesalahan memiliki dadah jenis heroin dengan berat kasar 18.01 gram.

No comments:

Post a Comment