BUKIT MERTAJAM - Tahi tikus yang berselerakan diruang dapur antara kesalahan yang dikenal pasti dalam pemeriksaan mengejut oleh Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) sehingga menyebabkan sebuah restoran makanan laut yang telah beroperasi lebih 10 tahun lalu terpaksa ditutup serta-merta kelmarin.

Selain itu, susunan kelengkapan dapur kurang memuaskan di samping kurang bersih menjadi punca pemilik premis restoran yang popular di Juru itu turut dikenakan kompaun.

Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran SPT, Abdul Ghani Desa berkata, sebanyak lima restoran makanan laut diperiksa dalam operasi yang dijalankan secara mengejut.

“Empat dari premis terbabit diarahkan tutup serta-merta selama 14 hari kerana tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Di antara kesalahan lain yang turut dikenal pasti ialah keadaan tempat mencuci pinggan yang kotor selain peti sejuk beku tempat penyimpanan bahan basah tidak mengikuti suhu yang ditempatkan,” katanya.

Turut hadir dalam operasi yang diadakan pada jam 6 hingga 11 malam itu, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan SPT, Tan Tiong Hoo selain pegawai daripada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Beliau berkata, notis penutupan premis diberikan bagi membolehkan pemilik restoran berkenaan membuat pembersihan sekali gus mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan.

“Pemeriksaan berkenaan dibuat selepas mendapat aduan serta pemerhatian dan penutupan selama 14 hari dikenakan kepada pemilik yang masih ingkar.

“Justeru, pemeriksaan yang dijalankan adalah untuk memantau sekali gus memastikan kesemua pemilik premis menepati peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.