Search This Blog

Saturday, November 16, 2013

Syabu berhias manik

Kuala Lumpur: Tindakan licik seorang lelaki Pakistan menyembunyikan dadah jenis syabu dalam kain dihiasi manik yang dijahit pada pakaian Punjabi, terbongkar selepas polis berjaya merampas dadah itu bernilai RM3.7 juta dalam serbuan di sebuah kondominium di Sri Petaling, jam 4.25 petang kelmarin.
Polis merampas 47 pakaian itu yang mengandungi 2.9 kilogram (kg) dadah berkenaan. 
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, lelaki berusia 43 tahun itu sering memasuki negara ini sejak 2009 dengan membawa kain dan pakaian Punjabi untuk dijual di sini.

Menurutnya, bagi tahun ini sahaja, suspek memasuki negara ini sebanyak lapan kali dipercayai menyeludup dadah syabu yang disembunyikan dalam pakaian berkenaan, bermula 22 Januari lalu dan kali terakhir pada 4 November lalu.
Foto
AMAR Singh (tengah) menunjukkan jubah manik yang dipenuhi dadah dibawa seorang warga Pakistan.

“Modus operandi suspek bagi mengaburi mata pihak berkuasa ialah mengisytiharkan kain dan pakaian yang dibawa dari Pakistan itu barang perniagaan.

“Bagaimanapun perniagaan itu sebenarnya tidak wujud sebaliknya pakaian itu yang dijahit dengan manik bercorak, digunakan untuk menyembunyikan dadah syabu bertujuan menyukarkan kastam mengesannya ketika proses pemeriksaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, semalam.

Amar Singh bagaimanapun berkata, tindakan suspek itu terbongkar selepas polis yang menerima maklumat orang awam, menahannya di kediaman terbabit ketika dia bersama isteri dan anaknya.

“Kami percaya sindiket dadah lain juga menggunakan modus operandi sama bagi mengaburi pihak berkuasa. Dadah itu dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

“Hasil ujian air kencing terhadap suspek mendapati dia positif syabu dan kini direman sehingga 21 November ini bagi membantu siasatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment