Search This Blog

Wednesday, November 13, 2013

Sebutan kes rompak eksekutif AirAsia 18 Dis.


Shahrinawati
KUALA LUMPUR 12 Nov. — Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini menetapkan 18 Disember ini sebutan kes terhadap seorang pemandu bas sekolah dan rakannya yang dituduh merompak seorang eksekutif syarikat penerbangan AirAsia yang maut akibat dilanggar sebuah kereta secara tidak sengaja ketika pemandunya cuba membantu mangsa.
Hakim Manira Mohd. Nor menetapkan tarikh tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya, Noor Fadzlin Abd. Zawawi memohon satu tarikh lain sementara mendapatkan laporan analisis rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berwarna.
Azizee Ishak, 25, dan penganggur, Mohamad Faiz Amirol Mohamad, 22, didakwa bersama-sama melakukan rompakan terhadap Shahrinawati Abu Bakar, 30, di hadapan Kondominium Palm Villa City Garden, Taman Nirwana, Ampang kira-kira pukul 2.45 pagi, 29 Ogos lalu.
Pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh itu dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat.
Peguam Dony Abdullah mewakili Azizee manakala Mohamad Faiz diwakili peguam Abdul Hoqq Abd. Razak.
Akhbar sebelum ini melaporkan Shahrinawati yang bakal mendirikan rumah tangga menemui ajal secara tragis apabila dia dilanggar sebuah kenderaan dinaiki dua rakan secara tidak sengaja ketika mereka cuba membantu mangsa yang disamun dua lelaki bermotosikal.
Mangsa yang cedera parah akibat rempuhan itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gleneagles dekat sini pada pukul 3.15 pagi, kira-kira setengah jam selepas kejadian.
Sebelum kejadian, mangsa yang baru pulang dari tempat kerja di Sepang sedang berjalan menuju ke rumahnya selepas meletakkan kenderaan di luar pagar kondominium berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131113/ma_09/Sebutan-kes-rompak-eksekutif-AirAsia-18-Dis#ixzz2kUdzBjbJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment