Search This Blog

Wednesday, November 13, 2013

Saman menantu, anak bekas KSN selesai


MOHD. Sidek Hassan (kiri) bersama anak perempuannya, Suzi Suliana dan suami, Todd Michael Morath keluar dari mahkamah selepas prosiding kes saman malu terhadap Tony Pua di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 12 Nov. - Kes saman anak perempuan bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan suaminya, Todd Michael Morath terhadap Ketua Publisiti DAP, Tony Pua atas dakwaan memfitnah mereka dalam beberapa artikel dan video, hari ini berjaya diselesaikan di Mahkamah Tinggi di sini.
Morath, 45, dan Suzi Suliana Mohd. Sidek, 35, memfailkan saman itu pada 16 Oktober 2012 setelah mendakwa Tony atau Pua Kiam Wee, 41, berniat memalukan dan merosakkan perniagaan serta nama baik mereka di beberapa buah syarikat berhubung kelulusan sistem tarif tenaga solar di negara ini.
Penyudahan saman itu direkodkan oleh Hakim Datuk Hue Siew Kheng selepas Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara membacakan kenyataan beliau sebagai penjelasan bagi penyelesaian saman tersebut.
Hakim Siew Kheng juga merekodkan perintah persetujuan yang dicapai oleh kesemua pihak yang terlibat dalam kes itu bagi penyelesaian kes.
Morath dan Suzi Suliana selaku pihak plaintif hadir di mahkamah dengan ditemani oleh Mohd. Sidek yang kini Pengerusi Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) serta peguam masing-masing.
Pihak plaintif dalam pernyataan tuntutan mereka menyatakan, Tony yang dinamakan sebagai pihak defendan mengendalikan dan menerbitkan artikel dalam blognya bertajuk Philosophy Politics Economics for Family and Friends, For Community and Country di http://tonypua.blogspot.com.
Menurut pihak plaintif, akibat penerbitan artikel dan video tersebut telah menyebabkan reputasi perniagaan mereka terjejas dan mengalami tekanan kerana diaibkan.
Tony dalam penjelasan tersebut antaranya menyatakan, bagi mengelakkan sebarang keraguan, beliau menarik balik semua sindiran terhadap keluarga tersebut yang terkandung dalam kenyataannya sebelum ini.
Defendan juga memberi akujanji akan mengeluarkan semua komen yang dibuat oleh para pengunjung blognya yang menyentuh pihak plaintif dan juga Mohd. Sidek ekoran daripada tohmahan yang dilemparkan oleh beliau sebelum ini.
Defendan menegaskan, semua kenyataan beliau pada masa itu merujuk kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) berhubung isu permohonan dan proses kelulusan sistem tarif tenaga dibuat berdasarkan kepentingan awam atas kapasitinya sebagai Ahli Parlimen.
Katanya, beliau juga tidak bermaksud untuk memperkecil-kecilkan atau mengatakan sebarang dakwaan salah laku mereka.
Peguam Ooi Huey Min mewakili pasangan suami isteri tersebut manakala Gobind Singh Deo mewakili Tony.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131113/ma_10/Saman-menantu-anak-bekas-KSN-selesai#ixzz2kUdZonSI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment