Search This Blog

Wednesday, November 13, 2013

Rozita didakwa dera kanak-kanak


Rozita Awang diiringi anggota polis keluar dari Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR 12 Nov. - Pemilik sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska), Rozita Awang didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun lapan bulan, pertengahan Oktober lalu.
Ibu kepada enam anak itu didakwa menganiaya kanak-kanak tersebut yang berada di bawah jagaannya dengan cara yang mungkin boleh menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di ruang tamu Taska Permata Harapan, Taman Melati di sini kira-kira pukul 11.35 pagi, 18 Oktober lalu.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Rozita, 35, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan tersebut.
Tertuduh sebelum ini menyerah diri kepada pihak polis pada 7 November lalu setelah menghilangkan diri sejak rakaman klip video yang memaparkan penderaan kanak-kanak di taska tersebut tersebar sejak awal bulan ini.
Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Ahmad yang mengendalikan pendakwaan, membantah sebarang jaminan diberikan kepada tertuduh.
Walau bagaimanapun, peguam, Muhammad Syazwan Mohd. Salleh yang mewakili wanita terbabit memohon satu jumlah jaminan yang minimum diberikan kepada anak guamnya memandangkan wanita itu mempunyai anak-anak yang masih kecil.
"Sekiranya dibenarkan jamin, suaminya yang bekerja sebagai pemandu teksi berjanji akan memastikan kehadiran isterinya ke mahkamah.
"Anak guam saya mempunyai anak-anak yang berusia di antara 10 tahun dan setahun setengah. Anak bongsunya pula masih lagi menyusu badan," ujar peguam itu.
Majistret Siti Shakirah Mohtarudin kemudian membenarkan Rozita diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan kes pada 10 Disember ini.
Terdahulu, wanita bertubuh kecil itu dilihat menangis terutama selepas menyedari kesemua anak-anak dan suaminya berada di galeri awam.
Namun, sejurus tamat prosiding, suami Rozita telah mengherdik sekumpulan jurugambar dan jurukamera yang sedang bertugas ketika lelaki itu keluar dari mahkamah.
Kira-kira pukul 3.30 petang, selepas menyedari kehadiran beberapa wartawan wanita, lelaki terbabit yang membayar wang jaminan isterinya telah memarahi kumpulan wartawan terbabit yang berada berhampiran kaunter jamin mahkamah sebelum 'menghilangkan diri'.
Rozita kemudian dilihat meninggalkan pekarangan mahkamah kira-kira pukul 4.50 petang.
Pada 1 November lalu, media cetak dan elektronik mendedahkan rakaman klip video yang memaparkan sekumpulan kanak-kanak di taska tersebut ditampar dan dipukul oleh pengasuh.
Klip video tersebut dirakamkan pada 18 Oktober lalu oleh seorang bapa yang meletakkan kamera tersembunyi di dalam beg sekolah anaknya setelah mengesyaki sesuatu tidak kena apabila kanak-kanak itu enggan dihantar ke taska tersebut.
Bagaimanapun anaknya tidak dipukul dalam rakaman itu.
Rentetan pendedahan tersebut, pihak polis telah menerima kira-kira lima laporan polis oleh ibu bapa yang mendakwa anak mereka didera seperti dipaparkan dalam video itu.
Polis kemudian menahan dua wanita yang merupakan pekerja taska terbabit bagi membantu siasatan berhubung kes penderaan kanak-kanak di pusat jagaan itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131113/ma_02/Rozita-didakwa-dera-kanak-kanak#ixzz2kUdHbf4w
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment