Search This Blog

Wednesday, November 6, 2013

Rompak: Peniaga diacu pistol

Rompak: Peniaga diacu pistolBahar melakonkan semula detik-detik lehernya diacu pistol dalam kejadian itu.

KOTA BHARU - Seorang peniaga warga Pakistan hanya mampu menurut arahan penjenayah apabila diacu pistol dalam kejadian rompakan sebuah kedai runcit di Jalan Pasir Hor di sini, malam kelmarin.

Bahar Ali, 22, berkata, dia berdepan detik cemas itu ketika kedai miliknya dimasuki tiga lelaki bertopeng kira-kira jam 10.45 malam.

Dia yang bersendirian dan sedang menyusun barang di rak didatangi penjenayah-penjenayah itu sebelum seorang daripadanya mengacu pistol ke leher kanan manakala seorang lagi menumbuk dada kirinya.

“Seorang lagi kemudiannya mengarahkan saya pergi ke kaunter dan dia mengambil kesemua wang tunai RM750 di dalam laci.

“Mereka juga mengambil tiga telefon bimbit dan tiga karton rokok sebelum melarikan diri menghala ke Kota Bharu dengan menaiki sebuah kereta jenis Honda berwarna hitam yang dipakir di hadapan kedai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Menurutnya, dia hanya mampu berdiam diri dan menurut segala arahan penjenayah apabila lelaki yang mengacu pistol tersebut mengarahkan dia supaya tidak membuat bising dan memberi amaran bahawa pistol itu adalah tulen.

“Kejadian hanya mengambil masa lima minit dan saya tidak mampu melawan akibat takut diapa-apakan dengan senjata api itu,” katanya.

Bahar berkata, sepanjang tiga tahun berniaga di situ, insiden tersebut adalah yang kedua selepas kejadian sama berlaku tahun lalu.

“Tahun lepas, juga tiga lelaki cuba merompak dengan senjata parang. Masa itu, saya bersama bapa saudara berani mempertahankan diri dan mereka tidak sempat mengambil apa-apa, namun, pakcik saya mengalami kecederaan di kepala kerana terkena tetakan.

“Kali ini, saya bernasib baik kerana tidak diapa-apakan tetapi akan tetap berjagajaga dan mungkin akan memasang kamera litar tertutup selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana rompak bersenjata.

No comments:

Post a Comment