Search This Blog

Saturday, November 16, 2013

Rogol: Hukuman 6 lelaki kekal


empat daripada enam lelaki yang didapati bersalah merogol seorang gadis diiringi beberapa anggota polis di pekarangan Mahkamah Tinggi Ipoh selepas mahkamah menolak rayuan mereka di Ipoh, Perak, semalam.
IPOH 14 Nov. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara masing-masing sembilan dan lima tahun serta sebatan antara satu dan tiga kali terhadap enam lelaki yang didapati bersalah merogol seorang pelajar berusia 15 tahun secara bergilir-gilir, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Zainal Adzam Abd. Ghani memutuskan demikian selepas menolak rayuan pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Teluk Intan dekat sini pada 20 Julai tahun lalu.
Hakim Zainal Adzam berkata, rayuan itu tidak mempunyai merit kerana hukuman tersebut sudah setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh Saiful Azimi Mhd. Razali, Mohd. Shahabudin Hashim, Mohamed Shafeq Mohamad Shahimi, Mohd. Athika Mohd. Hanapi dan Syahrul Hisyam Hashim serta seorang pesalah juvenil berusia 18 tahun.
"Sehubungan itu, mahkamah berpendapat Hakim Mahkamah Sesyen Teluk Intan, Faiz Dzaiyuddin tidak terkhilaf ketika membuat sabitan salah dan hukuman yang dikenakan terhadap tertuduh-tertuduh terbabit," kata beliau.
Berikutan itu, Saiful Azimi, 32, dan Mohd. Shahabudin, 26, kekal menjalani hukuman penjara sembilan tahun dan sebatan tiga kali manakala Mohamed Shafeq, 23, Mohd. Athika, 22, dan Syahrul Hisyam, 24, masing-masing dipenjara lima tahun dan sebatan sekali.
Hakim Zainal Adzam turut mengekalkan hukuman terhadap pesalah juvenil tersebut yang berusia 15 tahun ketika kejadian, yang diperintahkan dihantar ke Sekolah Tunas Bakti, Kajang selama tiga tahun.
Kesemua mereka disabitkan bersalah merogol mangsa di Bilik Klah 6, Spa Keluarga, Felda Residence Hot Spring Sungai Klah, Sungkai di antara pukul 6.10 malam dan 8 malam, 28 Februari 2010 .
Mereka turut didapati bersalah merogol mangsa di sebuah rumah bernombor D6, Jalan Melor, Felda Sungai Klah di antara pukul 12 tengah hari dan 6 petang, 1 Mac 2010.
Saiful Azimi turut melakukan kesalahan yang sama terhadap remaja itu di rumah A 24, Felda Sungai Klah antara pukul 12 tengah hari dan 6 petang, 1 Mac lalu.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta boleh dikenakan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aiza Khairuddin manakala keenam-enam tertuduh diwakili peguam R. Rajasekaran.
Mahkamah turut menetapkan 15 Januari tahun depan keputusan rayuan dua lagi tertuduh iaitu Mohd. Shafiq Abu Samah, 23, dan Mohd. Rosli Mustapa, 26, bagi mengetepikan hukuman penjara sembilan tahun dan sebatan sekali.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131115/ma_01/Rogol-Hukuman-6-lelaki-kekal#ixzz2kmQ5YLRU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment