Search This Blog

Monday, November 25, 2013

Ribuan penduduk pindah, Sinabung meletus lapan kali



Seorang penduduk menunggang motosikal ketika Gunung Berapi Sinabung menghamburkan asap dan abu di Karo, barat Indonesia, semalam. - AFP
JAKARTA 24 Nov. - Gunung Berapi Sinabung di barat negara ini, meletus lapan kali dalam tempoh beberapa jam, menghamburkan batu dan abu sehingga memaksa beribu-ribu penduduk meninggalkan rumah mereka di sini, hari ini.
Sejak September lalu, Gunung Sinabung telah beberapa kali meletus, tetapi kembali meletus kelmarin dan awal pagi ini, memuntahkan abu dan batu setinggi lapan kilometer ke udara.
Menurut agensi bencana, beribu-ribu penduduk terpaksa meninggalkan rumah mereka lewat semalam, menjadikan jumlah penduduk yang meninggalkan rumah di kawasan tersebut kini mencecah 15,000 orang.
"Orang ramai mula panik malam tadi apabila letusan berlaku. Ia disusuli bunyi bising serta gegaran, sebelum batu-batu kecil dihamburkan ke udara," ujar pegawai tempatan, Robert Peranginangin.
Semua penduduk lari lintang-pukang meninggalkan rumah mereka serta menangis meminta pertolongan.
Bagaimanapun tiada laporan kecederaan daripada letupan tersebut.
Agensi gunung berapi turut meningkatkan tahap amaran Gunung Berapi Sinabung ke paras tertinggi iaitu empat, yang bermaksud letusan besar bakal berlaku pada bila-bila masa.
Jurucakap Agensi Bencana Alam Nasional, Sutopo Purwo Nugroho berkata, pihak berkuasa telah mengeluarkan amaran meminta penduduk di sekitar lima kilometer radius dari gunung berapi itu agar meninggalkan kawasan tersebut. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131125/lu_07/Ribuan-penduduk-pindah-Sinabung-meletus-lapan-kali#ixzz2ldzr37H3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment