Search This Blog

Sunday, November 3, 2013

Polis kantoi berpesta dadah


Kuantan: Seorang konstabel polis yang bertugas di Cawangan Keselamatan Istana, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu ditahan ketika dipercayai berpesta dadah bersama 13 remaja, termasuk enam wanita, dalam serbuan di sebuah apartmen yang dijadikan ‘disko mini’ di Jalan Tengku Mohamad, di sini, tengah malam semalam.

Dalam serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuantan jam 12.30 tengah malam, anggota polis berusia 24 tahun berasal dari bandar ini, ditahan di dalam sebuah bilik apartmen berkenaan ketika cuba membuang dadah dalam simpanannya.


Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata, ketika anggotanya memasuki bilik berkenaan, kelihatan seorang lelaki cuba membuang sesuatu daripada genggaman tangan kanannya, namun sempat dihalang polis.

Katanya, polis yang melakukan pemeriksaan mendapati ia satu paket plastik lut sinar berisi 14 biji pil Ecstasy dan pemeriksaan pada suspek turut menemui satu paket plastik lut sinar berisi sebiji dan setengah biji pil Ecstasy.


“Pemeriksaan di dapur pula menemui satu beg hitam berisi kotak rokok mengandungi tiga paket syabu. Polis merampas semua dadah itu dan menahan semua suspek untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Beliau berkata, jumlah keseluruhan dadah dirampas polis dalam serbuan itu ialah Ecstasy seberat 5.96 gram (g) dan syabu seberat 6.37 g.

“Semua suspek berusia 22 hingga 28 tahun terbabit direman di lokap IPD Kuantan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.


“Sembilan daripada suspek berasal dari negeri ini, empat dari Terengganu dan seorang dari Kedah, dengan kebanyakan mereka operator kilang,” katanya.

Abdul Aziz berkata, siasatan turut mendapati anggota polis yang ditahan itu sudah lima tahun berkhidmat dan menjadi penagih Ecstasy serta Eramine 5 sejak awal tahun ini.


Menurutnya, semua suspek terbabit positif dadah selepas ujian air kencing dilakukan ke atas mereka.


“Polis percaya mereka menjadikan apartmen itu sebagai ‘disko mini’ untuk ‘melayan’ dadah berdasarkan beberapa peralatan sistem audio yang turut ditemui ketika serbuan dilakukan.


“Siasatan turut mendapati suspek terbabit beberapa kali menganjurkan pesta dadah di apartmen ini berdasarkan intipan polis sebelum serbuan dilakukan pagi tadi (semalam),” katanya.


Menurutnya, semakan juga mendapati apartmen berkenaan disewa menggunakan nama anggota polis itu.

No comments:

Post a Comment