Search This Blog

Monday, November 25, 2013

Polis bongkar sindiket pelacuran warga asing di Terengganu


KUALA TERENGGANU 25 Nov. - Penangkapan seorang wanita warga China yang menyediakan perkhidmatan seks di sebuah hotel pada Sabtu lepas membongkar taktik terkini sindiket pelacuran membabitkan warga asing di bandar raya ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, sindiket itu cuba mengaburi pihak berkuasa dengan memindahkan pelacur dari sebuah hotel ke hotel lain selepas seminggu mereka menginap di hotel berkenaan.
"Wanita berusia 20-an itu diberkas dalam serbuan di sebuah bilik hotel di Jalan Sultan Zainal Abidin di sini hasil maklumat awam dan risikan," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
Menurutnya, dalam serbuan pukul 10 malam itu polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun yang dipercayai pelanggan wanita berkenaan.
"Ketika serbuan dilakukan, wanita dan lelaki tersebut tidak berpakaian dan hasil siasatan mendapati wanita berkenaan mempunyai pas lawatan sosial yang tamat tempoh," katanya.
Beliau berkata, hasil soal siasat terhadap wanita itu, polis mengenal pasti seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang dipercayai ketua sindiket selain turut mencari pelanggan.
"Polis sedang menjejaki suspek dan kita percaya akan dapat menahannya dalam masa terdekat," katanya.
Manoharan berkata, tangkapan itu adalah yang kedua membabitkan sindiket persundalan wanita warga asing di bandar raya ini susulan penangkapan wanita warga Vietnam kira-kira dua minggu lepas.
"Wanita berusia 20-an itu juga ditangkap di sebuah hotel namun dipercayai dia bukan dari kumpulan yang sama dengan wanita China ini," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan juga di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007. -BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131125/je_11/Polis-bongkar-sindiket-pelacuran-warga-asing-di-Terengganu#ixzz2leNM7zKM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment