Search This Blog

Wednesday, November 13, 2013

Pendakwaan mohon bicara bersama empat kes perogol bersiri


IPOH 12 Nov. - Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 9 Disember ini keputusan permohonan pihak pendakwaan agar empat pertuduhan yang dihadapi oleh seorang perogol bersiri termasuk tuduhan merogol dan cuba melakukan persetubuhan luar tabii ke atas seorang pelajar tingkatan lima dibicarakan bersama.
Hakim Roshan Lutfi Mohamed menetapkan tarikh berkenaan selepas permohonan itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Isa ketika kes terhadap Malek Ridzuan Asroll, 27, disebut di hadapan beliau hari ini.
Nadiah memohon dua kes terhadap Malek Ridzuan di Mahkamah Majistret Batu Gajah dekat sini iaitu menyamar sebagai anggota polis dan mencuri telefon bimbit mangsa dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama kes rogol dan cubaan melakukan persetubuhan luar tabii kerana kesemua pertuduhan melibatkan mangsa yang sama.
"Saya juga memohon satu tarikh untuk mendapatkan laporan perubatan mangsa kerana sehingga kini kami masih belum memperolehnya," kata Nadiah.
Mengikut pertuduhan, Malek Ridzuan didakwa merogol dan cuba melakukan seks luar tabii terhadap pelajar perempuan berusia 17 tahun itu di kawasan hutan di Tanah Adat Mandailing, Batu Gajah di antara pukul 9.25 malam dan 10.15 malam, 25 September lalu.
Pada masa dan tarikh yang sama, tertuduh didakwa menyamar sebagai anggota polis dan mencuri telefon bimbit milik mangsa tersebut.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 376, Seksyen 377(c), Seksyen 379 dan Seksyen 170 di bawah Kanun Keseksaan.
Tertuduh turut menghadapi lima pertuduhan lain termasuk tiga pertuduhan seksual membabitkan tuduhan cuba rogol pekerja kedai kasut berusia 15 tahun dan seorang wanita berusia 30 tahun serta cuba melakukan seks luar tabii terhadap pelajar berusia 13 tahun.
Bagi kesemua pertuduhan ini, dua buah Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 15 November ini untuk sebutan semula.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131113/ma_07/Pendakwaan-mohon-bicara-bersama-empat-kes-perogol-bersiri#ixzz2kUe7pioe
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment