Search This Blog

Sunday, November 10, 2013

Pemuda Orang Asli mati lemas, perahu dinaiki karam


LABIS 10 Nov. - Niat sembilan pemuda Orang Asli untuk mandi-manda di kawasan Tasik Empangan Juaseh, dekat sini berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka mati lemas setelah perahu yang dinaiki karam petang semalam.
Menurut rakan mangsa, Roslan Hak, 20, ketika kejadian dia bersama lapan rakan termasuk mangsa, Sidi Atin, 19, mendayung bagi menyeberang ke kawasan yang lebih cetek untuk mandi apabila tiba-tiba perahu yang dinaiki mereka dimasuki air lalu tenggelam.
"Kejadian berlaku sekelip mata dan kami berlima yang menaiki perahu tersebut cuba berenang ke tebing. Saya nampak mangsa di belakang saya tetapi tidak lama kemudian apabila menoleh ke arahnya lagi, dia sudah tiada.
"Sebuah perahu lagi yang dinaiki empat rakan lain berada kira-kira 50 datang cuba menyelamatkan kami, tetapi tidak sempat kerana mangsa telah tenggelam tanpa kami sedari," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian bagi membantu gerakan mencari dan menyelamat hari ini .
Menurutnya, mereka bertolak dari rumah di Perkampungan Orang Asli Juaseh yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian kira-kira pukul 3.30 petang semalam dan sampai di lokasi sekitar 20 minit kemudian melalui jalan hutan.
Sementara itu bapa mangsa, Atin Hassan,61, berkata, kali terakhir dia berjumpa anaknya itu pada pagi semalam sebelum keluar bekerja di kebun dan terkejut apabila diberitahu kejadian itu semasa pulang bekerja petang semalam. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131110/je_10/Pemuda-Orang-Asli-mati-lemas-perahu-dinaiki-karam#ixzz2kIkwE5OY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment