Search This Blog

Saturday, November 30, 2013

Pemilik restoran sebabkan kematian ah long dipenjara 20 tahun


SHAH ALAM 29 Nov. - Hanya kerana enggan membayar pinjaman sebanyak RM5,000, seorang pemilik restoran dihukum penjara 20 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian seorang ah long dengan menetak leher mangsa, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Keng Leng Ceng, 28, yang membuat pengakuan tersebut atas pertuduhan pilihan yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan.
Hukuman tersebut diperintah berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 16 Ogos 2011.
Menurut Hakim Abdul Alim, mahkamah mengambil kira faktor kecederaan parah yang dialami mangsa iaitu telinga putus serta kesan tikaman di seluruh badan mangsa dalam menjatuhkan hukuman.
Leng Ceng didakwa menyebabkan kematian Phua Wei Loon, 27, di rumah kedai beralamat No. 18-1, Jalan PJS 5/28, Pusat Dagangan Petaling Jaya Selatan, Petaling dekat sini antara pukul 5.27 dan 6.56 petang, 15 Ogos 2011.
Lelaki itu yang diwakili peguam bela Gooi Hock Seng, didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda.
Sebelum ini, pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan bagi tuduhan membunuh dengan niat.
Berdasarkan fakta kes yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norhani Mohamad Adzhar, mangsa pergi berjumpa Leng Ceng di restorannya dan memaksa lelaki itu menjelaskan hutang namun tertuduh enggan berbuat demikian.
Mangsa menyatakan, dia akan mengambil peralatan perniagaan milik tertuduh sebagai cagaran sekiranya tertuduh gagal membayar wang pinjaman tersebut.
Tertuduh yang tidak bersetuju terus mengambil dua bilah pisau dari dalam beg silangnya dan menetak mangsa di badan dan leher beberapa kali sambil dibantu oleh dua lagi rakannya yang masih bebas.
Selepas itu, tertuduh membersihkan tempat kejadian dan membawa mayat mangsa ke dalam tandas premis tersebut dan mengambil barang-barang peribadi milik mangsa iaitu tiga unit telefon bimbit, cincin, rantai leher, jam tangan, kad akses kondominium, kad pengenalan dan lesen.
Tertuduh kemudian menjual tiga unit telefon bimbit itu kepada penjual telefon di Subang Jaya manakala barangan lain dibakar dan pisau yang digunakan sebagai senjata dibuang ke dalam tong sampah.
Hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan DNA mangsa adalah sepadan dengan DNA pada surat khabar yang membaluti pisau yang dibuang oleh tertuduh selain siasatan mendapati restoran itu disewa atas nama tertuduh.
Hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami luka di muka, leher, dada, bahu dan belakang badan serta punca kematiannya disebabkan kecederaan parah akibat senjata tajam.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131130/ma_05/Pemilik-restoran-sebabkan-kematian-ah-long-dipenjara-20-tahun#ixzz2mDR9o1P7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment