Search This Blog

Sunday, November 10, 2013

Pemandu teksi jumpa bayi kena culik

Pemandu teksi jumpa bayi kena culikFreddie yang hilang dibawa oleh ibunya keluar dari Balai Polis Jalan Tun Razak sejurus ditemui di Taman Tasik Titiwangsa semalam. - Foto Yazit Razali

Ditemui menangis di Taman Tasik Titiwangsa

Kuala Lumpur: "Pagi tadi (semalam) saya membaca akhbar dan ada berita bayi diculik. Tapi tak sangka bayi inilah yang diculik itu.

“Ketika saya mendekatinya, dia diam dan tidak berapa takut tetapi memang nampak dia lesu sangat,” kata pemandu teksi, Haris Mohd Nor, 48.
Katanya, dia bergegas membelikan keropok dan minuman untuk Freddie Joseph selepas melihatnya dalam keadaan amat letih dalam pangkuan seorang wanita yang turut membantu.


Bayi berusia setahun lapan bulan itu ditemui oleh pemandu teksi, Dahlan Medani, 40, pada jam 12.20 tengah hari selepas melihatnya berseorangan di tepi Jalan Kuantan, Taman Tasik Titiwangsa di sini.


Bayi menangis

“Mana mak dan ayah bayi ni... kenapa dibiarkan seorang diri”. Itu persoalan bermain dalam fikiran Dahlan sebaik melihat Freddie berseorangan menangis.
“Bimbang dengan keselamatannya jika tiba-tiba melintas jalan, saya terus berhenti dan mendapatkan bayi itu yang comot dan tidak memakai kasut,” katanya yang kebetulan lalu di depan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kuantan itu selepas menghantar seorang penumpang ke kawasan berhampiran.

Bayi terbabit dilarikan seorang lelaki dan seorang wanita menaiki sebuah Toyota Camry putih menggunakan nombor pendaftaran palsu ketika dia di halaman rumahnya di Bangsar, kira-kira jam 6.10 petang kelmarin.


Bawa ke balai polis

Kejadian berlaku apabila ibunya, Sarah Joseph, 39, yang sedang memberi anaknya makan di halaman kediaman mereka, masuk sekejap ke dalam rumah dua tingkat itu dan meninggalkan bayinya bersendirian.

Freddie kemudian dibawa ke Balai Polis Jalan Tun Razak, di sini sebelum penemuan itu dimaklumkan kepada ibunya. Guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah swasta di Taman Tun Dr Ismail itu kemudian terus bergegas ke balai polis untuk membawa anaknya pulang.

Dahlan berkata, melihat wajah bayi itu seperti berketurunan kulit putih, dia bertanya di mana ibu dan bapanya dalam bahasa Inggeris, namun mangsa hanya menangis teresak-esak sebelum beberapa orang awam turut menghampiri mereka dan menawarkan bantuan.

Sementara itu, seorang rakan baik Sarah yang hanya mahu dikenali sebagai Robert, berkata guru berkenaan amat gembira apabila mengetahui anak kesayangannya ditemui semula.

Dia yang sentiasa berada di samping wanita terbabit sejak kejadian berkenaan, berkata tiada apa yang dapat menggambarkan perasaan rakannya itu selepas dipertemukan semula dengan Freddie kira-kira jam 1.40 tengah hari semalam.

“Dia tak makan dan tak tidur sejak kejadian itu, sentiasa pegang telefon bimbit dan sering menghubungi polis untuk perkembangan lanjut. Selepas dihubungi polis berhubung penemuan itu, Sarah terus bergegas tanpa sempat bersiap untuk bertemu anaknya,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Jalan Tun Razak.

Robert juga mengucapkan syukur dan amat berterima kasih kepada semua pihak terutama polis, media dan orang awam yang membantu mempertemukan semula dua beranak itu.

No comments:

Post a Comment