Search This Blog

Wednesday, November 6, 2013

Pemandu teksi ditemui mati dalam kereta

Pemandu teksi ditemui mati dalam keretaMayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

GUA MUSANG - “Saya sejak pagi lagi tidak sedap hati apabila ayah keluar rumah dengan memandu teksi dalam keadaan tidak sihat,” kata Azharudin Mohd Nor, 31 anak kepada arwah, Mohd Nor Mat Ali, 70, yang ditemui mati dalam teksinya, petang kelmarin.
Mohd Nor berasal dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Renok Baru, ditemui mati tempat duduk dalam keretanya yang enjin masih hidup dipercayai serangan jantung di Kilometer 46 Jalan Gua Musang - Lojing jam 2.30 petang.
Mayat mangsa ditemui pasukan polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang yang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima maklumat sebuah teksi tersadai di tepi jalan di situ dalam keadaan enjin keretanya  masih hidup.
Menurut Azharudin, arwah ayah sepatutnya pulang ke rumah semula selepas keluar untuk membeli makanan sarapan pagi kira-kira jam 9 pagi dengan memandu teksi secara seorang diri, tetapi didapati tidak pulang ke rumah sehingga waktu tengah hari.
“Kebiasaan ayah pulang semula ke rumah untuk bersarapan bersama ahli keluarga dan saya mengesyaki sesuatu kejadian berlaku kerana menyebabkan saya terus mencarinya sekitar bandar Gua Musang, namun gagal menemuinya.
“Secara kebetulan, saya menerima maklumat ada pengguna Jalan Gua Musang - Lojing menemui sebuah teksi yang enjin masih hidup tersadai di tepi jalan dekat Pos Blau,” katanya.
Beliau terus membuat laporan polis di IPD Gua Musang sebelum bergegas dengan beberapa anggota polis ke tempat kejadian dan menemui ayah meninggal dunia dalam kereta berkenaan dipercayai serangan jantung.
Katanya, mungkin kejadian itu berlaku ketika arwah sedang memandu teksinya seorang diri dalam perjalanan pulang ke bandar ini selepas menghantar penumpang di kawasan berkenaan dan berhenti di tepi jalan untuk menahan sakitnya,” katanya.
Azharudin berkata, sebelum ini juga arwah dalam keadaan tidak sihat kerana masalah jantungnya, tetapi sempat juga arwah menonton siaran televisyen perlawanan final Piala Malaysia antara pasukan The Red Warriors (TRW) dengan Pahang di Stadium Shah Alam, Ahad lalu.
Beliau mengakui arwah bapa masih kuat semangat memandu teksi untuk menghantar penumpang pada pagi kejadian walaupun dalam keadaan tidak sihat dan memerlukan rehat di rumah.
 Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan penemuan mayat seorang pemandu teksi dalam keretanya di hantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat.
Kata Saiful Bahri, doktor yang melakukan pemeriksaan serta hasil bedah siasat yang dijalankan mengesahkan Mohd Nor mati mengejut kerana serangan jantung.

No comments:

Post a Comment