Search This Blog

Saturday, November 16, 2013

OIC tiba di Rakhine siasat keganasan anti-Islam



Sekumpulan penunjuk perasaan memakai ikatan di kepala semasa mereka mengadakan demonstrasi bantahan ketika delegasi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tiba lapangan terbang Rakhine, Sittwe, di barat Myanmar, semalam. - AFP
YANGON 15 Nov. - Beribu-ribu penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi bantahan di lapangan terbang Rakhine di barat Myanmar hari ini ketika delegasi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tiba untuk menyiasat keganasan anti-Islam di negara ini.
Menurut saksi, dianggarkan kira-kira 4,000 orang mengadakan tunjuk perasaan di Lapangan Terbang Sittwe, 500 kilometer ke barat laut Yangon bagi membantah badan dunia Islam itu campur tangan dalam isu dalam negara ini.
Penunjuk perasaan turut membawa sepanduk yang tertulis perkataan 'Berambus OIC', 'Jangan masuk campur urusan dalaman kami' dan 'Anda berada di sini bukan atas dasar hak asasi kemanusiaan tetapi untuk menyebarkan Islam'.
Delegasi yang diketuai oleh Setiausaha Agung OIC, Ekmeleddin Ihsanoglu itu tiba di Lapangan Terbang Sittwe pada pukul 10.45 pagi waktu tempatan (11.45 pagi waktu Malaysia).
Seorang pegawai lapangan terbang berkata, rombongan itu kemudiannya terus dibawa menaiki dua helikopter tentera untuk melawat kem pelarian di Buthidaung dan Maungdaw.
Pada tahun lalu, pertempuran etnik tercetus antara penganut Buddha dan etnik Rohingya Islam di Rakhine, menyebabkan lebih 167 orang maut dan kira-kira 140,000 lagi, kebanyakannya Rohingya, kehilangan tempat tinggal.
Pada tahun ini, sekurang-kurangnya lima rusuhan anti-Islam turut berlaku di Myanmar dengan kejadian terbaharu berlaku di Thandwe, kira-kira 270 kilometer ke barat laut Yangon. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131116/lu_03/OIC-tiba-di-Rakhine-siasat-keganasan-anti-Islam#ixzz2kmLvJb1w
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment