Search This Blog

Wednesday, November 13, 2013

Merana nak untung cepat


Kuala Lumpur: Seramai 17 lelaki kemungkinan diisytihar muflis kerana masing-masing menanggung ansuran bulanan beberapa kenderaan yang dibeli untuk disewakan kepada sebuah syarikat sewa kenderaan.
Sehingga kini mereka tidak mengetahui di mana semua kenderaan itu yang dianggarkan keseluruhan bernilai RM4 juta berada serta digunakan oleh siapa. 
Menerusi laman sosial Facebook, mereka mula menyedari ditipu pemilik syarikat itu yang menukar syarat dan terma perjanjian yang berat sebelah serta mengundang risiko bankrap kepada kumpulan pemuda berkenaan yang rata-rata berusia bawah 30 tahun.

Menurut jurucakap kumpulan terbabit, Firdaus Ayob, mereka diperkenalkan dengan perniagaan ‘untung cepat’ itu menerusi seorang kenalan yang mendakwa mampu menjana pulangan lumayan dan hanya perlu menyewakan kereta kepada orang ramai terutama pelajar universiti.
Foto
NADZIM (dua dari kiri) mendengar keluhan mangsa penipuan syarikat sewa kenderaan, semalam.

Mempunyai cawangan di 16 tempat berbeza termasuk Shah Alam, Puncak Alam, Serdang dan Tanjung Malim, Firdaus berkata, pada mulanya dia dijanjikan bayaran RM4,000 sebulan untuk empat kereta dibeli serentak menerusi rangkaian syarikat terbabit berharga antara RM49,000 hingga RM75,000 seunit, awal tahun ini.

“Selama empat bulan saya mendapat bayaran penuh, namun ia berubah sebaliknya apabila kami semua mendapat surat perjanjian perubahan terma menyebabkan saya terkejut kerana perlu membiayai ansuran walaupun kereta digunakan pihak lain,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan di sini, semalam.

Hadir sama 16 lagi mangsa penipuan syarikat itu yang membabitkan pembelian 53 unit kenderaan pelbagai jenis bagi tujuan usaha sama perniagaan berkenaan.

Firdaus berkata, dia dan rakan lain kini bingung memikirkan nasib mereka kerana perlu menjelaskan hutang selain saman yang diterima atas kesalahan penyewa dan pelbagai risiko lain termasuk kemalangan.

“Ada di antara mereka menerima lebih 10 saman yang dilakukan orang lain. Manakala tiga kereta milik mereka dikatakan hilang, dicuri dan sebagainya. Kami sudah beberapa kali adukan kepada pengurusan tapi mereka tidak mahu bertanggungjawab sebaliknya minta kami patuh kepada perjanjian,” katanya yang membuat laporan berhubung perkara itu di Balai Polis Sungai Besi, minggu lalu.

Menurutnya, mereka kini buntu memikirkan nasib apatah lagi tidak layak untuk membuat sebarang pinjaman dengan institusi kewangan kerana nama sudah digunakan untuk memiliki beberapa kenderaan lain.

Nasib sama dikongsi seorang lagi rakannya, Azril, 30, yang kerugian RM5,000 setiap bulan selepas terpedaya dengan pendapatan lumayan yang dijanjikan selain menanggung 11 saman daripada tujuh unit kereta yang dibeli daripada syarikat berkenaan.

Azril berkata, disebabkan ingin mencari wang tambahan, dia bersetuju menceburi perniagaan itu tanpa menyelidik dahulu latar belakang syarikat selepas diperkenalkan seorang rakan.

“Mula-mula saya beli sebuah kereta dulu dan selepas mendapat keuntungan selain melihat kejayaan syarikat yang sudah beroperasi sejak tujuh tahun, saya menambah lagi pembelian kereta sehingga menjadi tujuh unit.

“Saya mula sedar ditipu apabila beberapa bulan selepas itu hanya memperoleh keuntungan RM50 untuk setiap kenderaan selain dipaksa membayar kos baik pulih salah sebuah kereta yang terbabit dalam kemalangan berjumlah RM2,000,” katanya.

Sementara itu, Nadzim berkata, siasatan pihaknya mendapati wujud unsur penipuan di dalam kes itu kerana tiada peraturan yang membenarkan kenderaan persendirian disewakan kepada orang lain.

Katanya, masalahnya ketika ini ialah kemungkinan kereta itu disalah guna pihak tertentu untuk melakukan jenayah serta kesalahan lain yang akhirnya mendatangkan mudarat kepada pemilik kenderaan.

“Satu lagi kita tidak menolak kemungkinan individu ini bersubahat dengan rangkaian gelap kerana dengan begitu mudah boleh meluluskan pinjaman beberapa kenderaan serentak walaupun ada pengadu kita mempunyai pendapatan kurang RM1,200 sebulan.

“PPIM akan membawa perkara ini kepada pihak berwajib bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa. Satu pengajaran kepada kita ialah, jangan terlalu inginkan kemewahan sehingga menggadai masa depan sendiri,” katanya.

No comments:

Post a Comment