Search This Blog

Sunday, November 3, 2013

Maut ‘disambar’ tayar tercabut


Batu Pahat: Seorang penunggang motosikal wanita maut selepas tayar sebuah lori tiba-tiba tercabut sebelum terpelanting ke arahnya di Jalan Yong Peng- Parit Sulong di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi, Ngersimeh Ibrahim, 54, yang menunggang motosikal Honda EX5 disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini.


Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, siasatan awal mendapati tayar sebuah lori tiba-tiba pecah dan tercabut, lalu terpelanting dan terkena pada mangsa yang menunggang motosikal berhampiran lori berkenaan.



“Mangsa terjatuh dan cedera parah sebelum dibawa ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan,” katanya, semalam.


Menurutnya, mangsa kemudian dihantar ke HSNI untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal ketika dalam perjalanan.


“Mayat mangsa dibawa ke unit forensik HSNI untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saksi kejadian diminta tampil menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment