Search This Blog

Friday, November 29, 2013

Lori tangki bawa minyak terbakar

Lori tangki bawa minyak terbakarSeorang anggta bomba sedang memeriksa lori minyak kelapa sawit yang terbakar di Lebuhraya Duke, semalam

KUALA LUMPUR - Sebuah lori tangki yang membawa muatan 40 tan minyak kelapa sawit terbakar, selepas tayar kenderaan itu meletup beberapa kali dalam kejadian di Kilometer 3.9 Lebuhraya Duke dari arah Gombak menghala ke Plaza Tol Jalan Duta, di sini, petang semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, kesemua 16 tayar lori tangki itu meletup, sebelum kenderaan tersebut terbakar.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.31 petang, sebelum jentera pertama tiba di lokasi kejadian kira-kira 22 minit kemudian akibat kesesakan lalu lintas.
Menurutnya, api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 2.02 petang dan dipadam sepenuhnya kira-kira 45 minit kemudian.

Katanya, bomba juga dapat mengawal tumpahan minyak kelapa sawit daripada merebak ke seluruh jalan.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan ketika kejadian, hanya pemandu lori sahaja yang berada dalam kenderaan tersebut.

"Dia tidak mengalami sebarang kecederaan dan sempat keluar menyelamatkan diri," katanya ketika dihubungi, semalam.

Azizan berkata, siasatan menunjukkan kebakaran dipercayai berpunca daripada masalah mekanikal iaitu brek, namun, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Difahamkan lori tangki terbabit dalam perjalanan untuk ke Pelabuhan Klang dari Temerloh.

Beliau berkata, pihak berkaitan diingatkan supaya meletakkan tanda atau logo bagi menunjukkan bahan yang dibawa pada setiap lori.

“Dengan adanya logo ini, ia akan memudahkan bomba untuk melakukan kerja-kerja menyelamat dan memadamkan kebakaran,” katanya.

Dalam operasi tersebut seramai 42 anggota bomba daripada enam buah balai terlibat dalam operasi pemadaman.

No comments:

Post a Comment