Search This Blog

Saturday, November 30, 2013

Lokasi rahsia


London: Perjalanan ribuan kilometer pesara guru, Kamar Mahtum Abdul Wahab dari Kuala Lumpur ke sini tidak sia-sia apabila dia dipertemukan dengan adiknya yang menjadi mangsa perhambaan, Siti Aishah, di satu lokasi rahsia di luar bandar raya ini, semalam.

Pertemuan penuh emosi antara dua beradik yang terpisah sejak 40 tahun itu dilakukan dengan bantuan polis Britain selepas Kamar Mahtum, 73, tiba di London dua hari lalu.

Kelmarin, Kamar Mahtum bertemu Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Datuk Seri Zakaria Sulong bagi meminta bantuannya mengatur pertemuan dengan Siti Aishah.

Wanita berusia 69 tahun itu diselamatkan polis bersama dua wanita lain selepas dikurung sebagai hamba di sebuah rumah di Selatan London selama 30 tahun.

Zakaria berkata, pertemuan itu berlangsung selama 30 minit bermula jam 7.50 malam kelmarin di lokasi yang diatur polis Britain dengan Kamar Mahtum ditemani dua pegawai dari pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia (STM).



“Ketika bertemu Kamar Mahtum di STM semalam (kelmarin), beliau meminta kita membantunya bertemu Siti Aishah dan hasilnya, dia berjaya ditemukan dengan mangsa di lokasi rahsia malam tadi (semalam).

“Kamar Mahtum dibawa ke lokasi rahsia itu menaiki kereta polis tanpa kehadiran media, malah saya sendiri tidak berada di situ,” katanya.

Difahamkan, dua pegawai STM serta polis Britain berada di luar bilik ketika Kamar Mahtum dan Siti Aishah dipertemukan bagi memberi mereka ruang lebih selesa untuk berbicara.

Dalam pertemuan itu Kamar Mahtum dikatakan memberi kepada adiknya sepasang telekung, sejadah dan sehelai kain batik.


Zakaria berkata, selepas terpisah lama, pelbagai perkara ingin diceritakan Kamar Mahtum kepada adiknya itu termasuk pesanan yang ditinggalkan arwah ibu mereka.

“Selepas terpisah lama, tentu banyak yang mahu diluahkan pasangan adik beradik itu.


Perasaan gembira, rindu, rasa sayang dan segala kenangan bersama ibu mereka pasti dikongsi bersama.

“Saya difahamkan Kamar Mahtum turut meminta Siti Aishah menjaga dirinya serta menulis surat untuk ahli keluarga mereka di kampung,” katanya.

No comments:

Post a Comment