Search This Blog

Thursday, November 28, 2013

Lima kedai lama terbakar

Lima kedai lama terbakarDeretan bangunan kedai lama yang terlibat dalam kebakaran, malam kelmarin.

BATU PAHAT - Kira-kira 20 pelanggan sebuah restoran di Jalan Zabedah, di sini, lari bertempiaran meninggalkan makanan yang sedang dinikmati sebaik melihat kebakaran di kedai lama di sebelah restoran terbabit, malam kelmarin.

Kebakaran yang melibatkan lima buah kedai itu berlaku kira-kira jam 8.45 malam dipercayai bermula dari salah sebuah kedai berkenaan.

Seorang pelanggan restoran, Mohammad Jafar Hidayat, 42, berkata, semasa kejadian, dia bersama isteri dan dua anaknya sedang menjamu stimbot, sebelum terdengar bunyi riuh rendah.

“Ada seorang lelaki berlari ke arah kami dan mengarahkan kami menyelamatkan diri, sambil menjerit menyatakan kedai sebelah restoran tempat saya makan terbakar.

“Tanpa menunggu lama, kami terus lari menyelamatkandiri ke seberang jalan sebelum mendapati api pantas membakar bangunan berkenaan.

"Nasib baik tiada kecederaan berlaku walaupun terdapat letupan kecil,” katanya.

Sementara itu, pemilik sebuah kedai yang terbakar, Ng Ju Hua, 36, berkata, bangunan kedai itu ditinggalkannya sejak lapan tahun lalu dan dalam proses pengubahsuaian.

Menurutnya, usia bangunan yang mencecah 80 tahun itu masih mempunyai nilai sejarah, meskipun kebakaran tersebut merosakkan lima kedai terlibat.

“Saya terkejut dengan khabar menyatakan kedai yang dibina daripada kayu keseluruhan ini terbakar. Saya dalam perancangan mengubahsuainya dalam masa terdekat ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Mohd Khalid, Saif Ab Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan jam 8.52 malam sebelum dua jentera dengan tujuh anggota ditugaskan ke tempat kejadian.

Menurutnya, pasukannya turut menerima bantuan anggota pasukan bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Jalan Timah Sari yang tiba dengan dua jentera dan 11 anggota, selain empat anggota pasukan Bomba Sukarela Sri Gading dengan satu jentera.

Tambahnya, hampir sejam masa diambil untuk memadam sepenuhnya api berkenaan selain membuat pemeriksaan ke atas bangunan lama yang telah ditinggalkan penghuni itu.

“Punca kebakaran dan nilai kerugian akan disiasat secara terperinci oleh pasukan forensik bomba yang turut tiba untuk memulakan proses siasatan.

"Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa berlaku kerana kebakaran disedari orang awam lebih awal dan telah menyelamatkan diri,” katanya.

No comments:

Post a Comment