Search This Blog

Sunday, November 3, 2013

Lelaki mengamuk di lapangan terbang


Gambar dikeluarkan AP, menunjukkan dua pegawai polis memeriksa senjata digunakan suspek dalam kes tembakan rambang di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles, kelmarin. - AP
LOS ANGELES 2 Nov. - Seorang lelaki bersenjata meluru ke dalam terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles di sini yang penuh sesak dan melepaskan tembakan rambang semalam, membunuh seorang ejen keselamatan persekutuan sebelum dia ditembak dan ditangkap.
Insiden amuk di Terminal 3 itu mencetuskan keadaan panik dan huru hara di satu daripada lapangan terbang paling sibuk di dunia tersebut dengan beratus-ratus orang ramai bertempiaran lari mencari perlindungan di sebalik rak bagasi.
Beberapa orang turut cedera dalam kejadian itu termasuk dua yang terkena tembakan.
Hampir 750 penerbangan terpaksa ditangguhkan, ditunda mahupun ditukar destinasi pendaratan ketika polis memindahkan orang ramai dan menutup tiga buah terminal.
Jalan raya yang menghubungkan lapangan terbang turut ditutup selama beberapa jam, mengakibatkan kesesakan jalan raya sejauh beberapa kilometer.
"Suspek meluru ke Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles, mengeluarkan selaras raifal dari begnya dan mula melepaskan tembakan,'' kata ketua Polis Lapangan Terbang Los Angeles, Patrick Gannon dalam satu sidang media.
Gannon berkata, lelaki bersenjata itu, seorang rakyat Amerika Syarikat (AS) yang bertindak sendirian dipercayai meloloskan diri dari pintu pemeriksaan sebelum melepaskan tembakan rambang.
Dia kemudiannya ditembak anggota polis selepas melarikan diri ke kawasan menjual makanan sebelum ditangkap.
Sementara itu, seorang ejen khas dari Biro Siasatan Persekutuan (FBI), David Bowdich mengenal pasti suspek sebagai Paul Ciancia, 23, seorang penduduk Los Angeles yang kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital tempatan kerana kecederaannya.
Motif kejadian bagaimanapun sedang disiasat. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131103/lu_04/Lelaki-mengamuk-di-lapangan-terbang#ixzz2jWV8lakA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment