Search This Blog

Saturday, November 23, 2013

Lelaki kecoh hilang balik rumah nenek


Shah Alam: “Selepas beberapa jam dilaporkan hilang, Iskandar mengejutkan kami sekeluarga apabila pulang ke rumah neneknya di Subang Jaya dalam keadaan keletihan dan kebingungan seolah-olah dipukau.

“Namun begitu, saya gembira adik ipar saya ditemui dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan. Kami tidak kisah jika kereta itu hilang, tetapi nyawanya jauh lebih berharga,” kata Muhd Hanifi Muhd Bazil, 29, abang ipar kepada seorang lelaki yang dilaporkan hilang bersama kereta milik ibu bapanya ketika singgah di sebuah stesen minyak berhampiran plaza tol Bukit Jelutong, di sini, malam kelmarin.


Lebih mengejutkan lagi, kereta Subaru XV yang hilang bersama Iskandar Zulkarnain Borhan, 25, kelmarin turut ditemui di hadapan rumah neneknya di Subang Jaya bersama sebuah lagi kereta Rexton milik ibu bapanya dipercayai dipandu sendiri mangsa. Kehilangan Iskandar kecoh apabila berita mengenainya tersebar melalui Facebook yang dimuat naik ahli keluarga yang memaklumkan mengenai kehilangan lelaki itu ketika ibunya memberhentikan kereta di laluan luar stesen minyak PETRONAS selepas tol plaza Bukit Jelutong, di Lebuhraya Guthrie dan keluar untuk ke tandas.



Selain Facebook, berita kehilangan turut tersebar melalui aplikasi WhatsApp sebelum ahli keluarga mangsa membuat laporan polis.


Muhd Hanifi berkata, Iskandar tidak mempunyai sebarang masalah dengan keluarga sebelum ini dan masih banyak tanda tanya timbul mengenai kehilangannya.


“Dia tahu memandu, tetapi tidak mahir selok-belok jalan. Saya juga terkejut apabila diberitahu dia ditemui di depan rumah neneknya di Subang Jaya menggunakan kereta Rexton milik keluarga sedangkan ketika hilang, dia menaiki Subaru XV.

Katanya, kereta Subaru XV ditemui polis peronda yang kebetulan melakukan rondaan di kawasan perumahan itu sebelum memaklumkan kepada ahli keluarga mangsa. “Berita kehilangan adik saya itu membuatkan saya panik dan terus mencarinya di rumah keluarga di sekitar Subang Jaya. Pencarian tidak terhenti di situ apabila saya turut mencarinya di sekitar Rawang dan Ijok.


“Namun begitu, Iskandar mengejutkan kami sekeluarga apabila pulang ke rumah neneknya tadi (semalam). Apabila kami tanya mengenai kejadian sebenar kepadanya, beliau hanya mendiamkan diri seperti bingung dengan soalan itu,” katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, semalam. Menurut Muhd Hanifi, dia hairan dengan tindakan adik iparnya yang boleh memandu sebuah lagi kereta milik ibu bapanya dari Sungai Buloh ke Subang Jaya kerana mangsa dipercayai tidak arif mengenai navigasi dan arah apabila memandu.

“Saya sudah beberapa kali membuat rondaan di sekitar rumah nenek malam tadi (kelmarin), namun tidak menemui kereta bapa mentua sebelum dimaklumkan polis, dia dan kereta terbabit sudah ditemui,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/23

No comments:

Post a Comment