Search This Blog

Saturday, November 30, 2013

Lelaki disyaki curi kereta dibelasah sampai mati


2013/11/30
Kuala Lumpur: Seorang lelaki berusia 32 tahun yang disyaki melarikan sebuah kereta maut dibelasah empat lelaki, dipercayai rakan pemilik kenderaan itu di Sentul, kelmarin.

Berikutan kejadian itu, polis menahan empat lelaki berusia antara 22 hingga 37 tahun bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, rakan pemilik kereta berkenaan melihat lelaki terbabit bersama dua rakannya menaiki Honda Civic yang dilaporkan hilang di susur masuk Lebuhraya DUKE, berhampiran Jalan Sentul Pasar.

Kereta berkenaan yang dilaporkan dilarikan di Taman Putra Perdana, Puchong, dikatakan tersangkut dalam kesesakan di laluan itu.

Katanya, rakan pemilik kereta itu kemudian dipercayai menghalang dan menahan pemandu dan penumpang kereta berkenaan tetapi dua daripada mereka sempat melarikan diri.

Diserang empat lelaki

“Akibat marah dengan tindakan lelaki itu, kumpulan empat lelaki itu dipercayai menyerang dan memukul mangsa sebelum dileraikan oleh anggota polis yang bergegas ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan orang awam.
“Selepas mengawal keadaan di lokasi, lelaki itu dibawa ke Balai Polis Sentul bagi membantu siasatan. Sebaik tiba di pekarangan balai, lelaki itu tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Khairi berkata, pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan serius di kepala, dipercayai akibat dipukul kumpulan lelaki terbabit.

Mayat mangsa dibawa ke HKL untuk bedah siasat.

Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan insiden berkenaan supaya memberikan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Wan Abdullah Wan Said, di talian 03-62562280 atau 03-62562307.

Beliau turut memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak bertindak melulu termasuk memukul dan mencederakan individu yang dipercayai terbabit dalam kes jenayah.

No comments:

Post a Comment