Search This Blog

Saturday, November 30, 2013

Lapan deret rumah kedai hangus

Lapan deret rumah kedai hangusLapan buah rumah kedai sederet musnah dalam kebakaran di Kampung Membunga, malam kelmarin.

MACHANG -  Lapan buah rumah kedai sederet di Kampung Membunga, Lebuhraya Machang-Pasir Puteh dekat sini musnah dalam kebakaran pada jam 8.15 malam kelmarin.

Kedai yang musnah tersebut membabitkan kedai membaiki kusyen, kedai runcit dan servis komputer, kedai cermin, aluminium, bahan-bahan pencuci dan juga kimpalan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Zulkifli Osman berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada jam 8.26 malam dan keluar seminit kemudian sebelum tiba di tempat kejadian pada jam 8.30 malam.

Katanya, ketika tiba di tempat kejadian, hampir 70 peratus bangunan rumah kedai itu terbakar dan pihaknya berjaya mengawal kebakaran dalam masa 20 minit namun gagal menyelamatkan apa-apa memandangkan api marak dengan cepat.

“Sebahagian bangunan itu diperbuat daripada kayu dan api merebak dengan cepat. Penyewa berjaya menyelamatkan diri masing-masing dan tiada kecederaan yang berlaku akibat kejadian ini.

“Punca kejadian masih disiasat dan kerugian dianggarkan bernilai kira-kira RM500,000. Operasi ini melibatkan empat jentera bomba termasuk satu daripada  Pasir Puteh dan Tanah Merah dengan kekuatan anggota seramai 24 orang termasuk empat anggota sukarela,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Saksi kejadian, Mohd Dailami Abd Aziz berkata, dia menyedari kebakaran tersebut apabila dimaklumkan oleh seorang pelanggan yang datang ke kedainya .

“Pelanggan tu cakap, cepat telefon bomba, kedai hujung terbakar. Saya segera maklumkan kepada rakan serta penyewa di sebelah saya untuk menyelamatkan keluarganya dan pada masa yang sama, saya juga menyelamatkan keluarga saya. Selepas itu segera telefon bomba.

“Selain berniaga, kami tinggal di sini. Pada ketika itu, hanya kedai saya yang masih beroperasi memandangkan saya juga berniaga barangan runcit. Kejadian berlaku terlalu cepat, saya hanya sempat selamatkan keluarga dan tidak dapat mengambil apa-apa barangan di kedai,” katanya yang menyewa di situ sejak lebih setahun lalu.

Mohd Dailami berkata, selain itu, dia turut menyediakan khidmat membaiki komputer dan terdapat beberapa komputer riba milik pelanggan di kedainya itu.

Katanya, api merebak melalui bahagian tengah bangunan memandangkan dindingnya diperbuat daripada kayu dan berlaku dengan cepat biarpun ketika itu hujan renyai-renyai.

No comments:

Post a Comment