Search This Blog

Friday, November 22, 2013

Laman web Australia digodam


Sebahagian penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi di hadapan Kedutaan Australia di Jakarta, sebagai bantahan terhadap pengintipan yang dilakukan oleh negara itu. - REUTERS
SYDNEY 21 Nov. - Laman web Polis Persekutuan Australia (AFP) dan Bank Simpanan Australia menjadi mangsa serangan siber yang didakwa didalangi penggodam Indonesia, dipercayai sebagai tindakbalas terhadap tindakan Canberra mengintip beberapa pemimpin republik itu.
AFP dalam kenyataannya mengutuk serangan tersebut yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.
Kenyataan itu menjelaskan bahawa laman web yang digodam tidak menyimpan sebarang maklumat sulit, beroperasi dengan baik semalam sebelum mengalami masalah awal hari ini.
Kumpulan penggodam Anonymous Indonesia mendakwa mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu sebagai bantahan terhadap tindakan Australia mengintip Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono dan isterinya serta beberapa menteri lain pada 2009.
Bagaimanapun, AFP tidak memberi maklumat tentang pihak yang terlibat, sebaliknya akan bekerjasama dengan pasukan Pusat Operasi Keselamatan Siber dan Unit Tindakbalas Kecemasan Komputer untuk mengenal pasti kumpulan penyerang terbabit.
Sementara itu, kira-kira 200 penunjuk perasaan mengadakan bantahan di luar Kedutaan Australia di Jakarta bagi menuntut Canberra memohon maaf kerana melakukan aktiviti pengintipan.
Kumpulan penunjuk perasaan itu turut menggesa Kedutaan Australia itu ditutup dan kesemua diplomatnya diusir, jika Australia enggan memohon maaf.
Pasukan keselamatan Indonesia menempatkan sejumlah anggota polis dan memasang dawai berduri di sekitar bangunan Kedutaan itu bagi mengelakkan berlaku kejadian yang tidak diingin.
Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan, Bayu Krisnamurthi berkata, Indonesia masih mengimport daging lembu dari Australia, walaupun Jakarta mahu mengkaji semula hubungan perdagangan antara kedua-dua negara, ekoran isu pengintipan itu.
Jakarta mahu mengkaji semula hubungan perdagangan dengan Australia, sehari selepas Susilo mengumumkan pembekuan kerjasama ketenteraan dan perisikan dengan Canberra. - AFP/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131122/lu_05/Laman-web-Australia-digodam#ixzz2lJhBCct0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment