Search This Blog

Thursday, November 28, 2013

Jaga haram bertindak agresif

Ipoh: Seorang pengawal keselamatan warga India yang bekerja secara haram di negara ini bertindak agresif mengamuk seperti watak kartun ‘Hulk’ ketika cuba ditahan anggota Jabatan Imigresen Perak hingga menyebabkan baju dan seluar dipakainya terkoyak.
Dalam kejadian pada jam 3 petang, semalam, lelaki berusia 30-an itu cuba ditahan untuk disoal siasat oleh sepasukan anggota Jabatan Imigresen Perak yang melakukan operasi khas bagi membanteras kehadiran pengawal keselamatan warga asing di bandar raya ini. 
Operasi diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Perak Fara Natasha Ghafar itu mensasarkan enam pos kawalan keselamatan di kawasan kediaman dan premis perniagaan di sekitar Khantan, Bercham, Tambun dan Jelapang, di sini.

Fara berkata, operasi dilakukan hasil risikan dan maklumat awam berhubung kehadiran pengawal keselamatan warga asing yang disyaki menyalah gunakan pas lawatan sosial serta bekerja secara haram di negara ini.
Foto
SEBAHAGIAN daripada pengawal keselamatan warga asing yang ditahan.

Menurutnya, dalam operasi diadakan di sebuah pos kawalan keselamatan sebuah pangsapuri di Bercham, di sini, suspek seorang lelaki warga India berusia 36 tahun bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota Jabatan Imigresen.

“Dia yang ketika itu berpakaian seragam pengawal keselamatan bagaimanapun dikejar oleh anggota Jabatan Imigresen sejauh hampir 100 meter.

“Bagaimanapun, lelaki warga asing itu enggan menyerah diri dan bertindak meronta-ronta ketika mahu ditangkap.

“Malah, dia bertindak agresif melawan hingga menyebabkan baju dan seluar dipakai terkoyak,” katanya.

Menurutnya, suspek bagaimanapun berjaya ditangkap sebelum diperiksa.

“Siasatan mendapati lelaki terbabit menjadikan sebuah stor di pangsapuri itu yang diubah suai menjadi kediamannya.

“Kami menemui almari dan pakaiannya di dalam stor itu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek terbabit tidak mempunyai dokumen dan permit kerja sah untuk bekerja di negara ini,” katanya.

Menurutnya, dalam satu lagi operasi berasingan di Tambun, seorang pengawal keselamatan warga asing akhirnya menyerah diri selepas penat berlari akibat dikejar anggota Jabatan Imigresen.

“Hasil operasi ini, seramai tujuh pengawal keselamatan warga asing membabitkan tiga lelaki warga Pakistan dan empat lelaki warga India berjaya diberkas.

“Lima daripada mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri manakala dua lagi memiliki pas yang sudah tamat tempoh,” katanya.

No comments:

Post a Comment