SEREMBAN - Seorang wanita maut selepas motosikal dinaiki terlibat dalam kemalangan akibat ditendang peragut di Jalan Haji Mohd Said, dekat sini, semalam.

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian kira-kira 3.55 petang itu, mangsa, Jamariah Ahir, 65, pekerja bahagian pembersihan di sebuah bank, dekat sini sedang membonceng motosikal jenis Honda Wave Dash bersama anak perempuannya, Norain Mohd Yusof, 23.

“Siasatan awal kita mendapati, semasa insiden berlaku, difahamkan mangsa yang datang dari arah Seremban sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di Sikamat, selepas dijemput anak perempuannya dari tempat kerja.

“Setibanya di tempat kejadian, tanpa disedari, dua lelaki menaiki motosikal jenis Modenas Kriss yang datang dari arah belakang  cuba meragut beg tangan kepunyaan mangsa. Justeru, berlaku tarik-menarik berikutan mangsa enggan mengalah,” katanya.

Menurutnya, akibat berang dengan kedegilan mangsa, salah seorang peragut telah bertindak agresif dengan menendang motosikal dinaiki mereka, sebelum kedua-duanya melarikan diri tanpa sebarang hasil.

“Impak tendangan tersebut menyebabkan anak-beranak berkenaan terbabas lantas tercampak dari motosikal dinaiki.

“Mangsa yang cedera parah di bahagian tangan, pinggang dan lutut meninggal dunia di tempat kejadian, manakala anak perempuannya pula hanya mengalami luka ringan,” katanya kepada pemberita, di sini.

Beliau berkata, jenazah mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, di sini untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga bagi urusan pengebumian.

“Pada masa sama, pihak polis juga sedang cuba mengesan kedua-dua lelaki berkenaan untuk membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Deputi Superintendan Baharudin Mustapha ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.