Search This Blog

Wednesday, November 13, 2013

Gerakan buru Joemar diperhebat


2013/11/13
 
Shah Alam: Polis meningkatkan gerakan memburu rakan suspek utama kes tembak dan samun AmBank cawangan Subang Jaya yang dipercayai masih berada di dalam negara ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata suspek yang dikenali sebagai Joe-mar Omar atau Osman Salleh adalah kawan rapat kepada suspek utama kes berkenaan.
“Siasatan awal mendapati Joemar turut menggunakan kad pengenalan palsu untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat di negeri ini sejak lebih setahun lalu namun bukan syarikat perbankan.

“Kami percaya suspek menetap di Klang dan kini dalam usaha untuk keluar dari negara ini melalui laluan tikus perairan negara bersama hasil rompakan kira-kira RM400,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, semalam.

Shukri berkata, suspek utama kes berkenaan kini dalam tahanan reman polis sehingga 16 November ini bagi melengkapkan siasatan kes itu.

Kumpul cap jari

“Kejayaan polis menangkap suspek utama pada Ahad lalu membawa kepada penemuan senjata api dalam longkang sedalam lima meter kira-kira 700 meter dari lokasi kejadian. Turut dirampas daripada suspek wang tunai RM21,800.
“Ketika diperiksa, masih ada empat butir peluru dalam pump gun berkenaan dan satu daripadanya kosong. Kami masih melakukan pemeriksaan rapi terhadap senjata itu bagi mengumpul bukti kesan cap jari dan sebagainya.

“Suspek utama disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh manakala rakan suspek disiasat mengikut Seksyen 412 KK kerana memiliki barang curi,” katanya,

Dalam perkembangan berkaitan, Shukri menafikan Joemar menggunakan kaedah hipnotis (pukau) dalam merancang dan mengarah suspek utama iaitu pengawal keselamatan berkenaan menyerahkan hasil rompakan.

Kelmarin media melaporkan, buruan selama 19 hari bagi memburu pengawal keselamatan yang membunuh pegawai Ambank, Norazita Abu Talib, 37 dalam kejadian samun pada 23 Oktober lalu itu, berakhir apabila suspek, Ardi Hamza, ditahan di jeti Tanjung Belungkor, Kota Tinggi Johor, Ahad lalu.

No comments:

Post a Comment