Search This Blog

Friday, November 22, 2013

Gadai nyawa selamat ibu bapa

Gadai nyawa selamat ibu bapaSalah seorang ahli keluarga menunjukkan kesan luka di telinga Din yang menerima lima jahitan.

 PASIR MAS - Seorang anak sanggup menggadaikan nyawa bergelut dengan penyamun yang bersenjata tajam demi menyelamat nyawa ibu bapanya dalam kejadian di Kampung Kubang Panjang, Lemal di sini, semalam.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Din, 51 memaklumkan, dia sedang menunggu masuk waktu Asar di biliknya, di atas kedai runcit milik ibu bapanya semasa kejadian berlaku.

Menurutnya, kejadian berlaku pada jam 4 petang dan ketika itu dia tiba-tiba mendengar ibu dan ayahnya menjerit seperti orang terkena histeria.

“Terkejut dengan jeritan itu saya terus bergegas turun ke kedai runcit dan melihat tiga lelaki sedang mengacukan parang berserta senjata tajam lain ke arah mak dan ayah.

"Ketiga-tiga lelaki itu mengarahkan mak dan ayah saya mendiamkan diri dan mengikut arahan mereka," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Din berkata, memikirkan keselamatan ibu bapanya, dia nekad menerpa dan bergelut dengan salah seorang suspek demi menyelamatkan kedua-dua orang tuanya itu.

Menurutnya, pergelutan berlarutan selama lebih kurang tiga minit dan akibat daripada kejadian itu, dia mengalami kecederaan pada telinga kanan serta menerima lima jahitan.

"Saya juga cedera di bahagian belakang dan leher. Mak dan ayah juga cedera dalam kejadian itu tetapi syukur mereka terselamat.

"Ayah terima 10 jahitan di lengan kiri akibat ditetak oleh lelaki berkenaan, manakala mak cedera pada leher selepas rantainya diragut," jelasnya.

Tambahnya, selepas mendapat rantai leher milik ibunya, ketiga-tiga suspek melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira dipandu seorang lagi suspek.

Katanya, dua telah membawa ibu bapanya ke Hospital Pasir Mas untuk mendapatkan rawatan sebelum ke Balai Polis Pasir Mas untuk membuat laporan berhubung kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahum memaklumkan, polis sedang giat mengesan kesemua suspek terlibat dalam kejadian itu.

Menurutnya, keempat-empat suspek berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun.

No comments:

Post a Comment