TAWAU - Enam buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Pasir Putih di sini hari ini menyebabkan 45 penghuninya tinggal sehelai sepinggang.
  
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Rudy Fredzek berkata dua jentera bomba bersama 20 anggota digegaskan ke tempat kejadian sejurus menerima laporan pada 11.32 pagi.
  
Ketika bomba tiba sebahagian besar rumah yang terbabit sudah musnah namun bomba dapat mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah berhampiran pada 12 tengah hari, katanya ketika dihubungi.
  
Sementara itu di KOTA KINABALU, tiga buah rumah musnah dalam kebakaran di perkampungan setinggan di Telipok awal hari ini.
  
Kejadian turut memusnahkan tiga buah kereta, kata jurucakap bomba dan penyelamat Kota Kinabalu ketika dihubungi.  

Menurutnya pihak bomba menerima laporan kejadian pada pukul 2.38 pagi dan tiga jentera bomba berserta 18 anggota digegaskan ke tempat kejadian.
  
Api dapat dikawal pada 3.42 pagi dan dipadamkan sepenuhnya tiga jam kemudian, katanya. - Bernama