Search This Blog

Monday, November 4, 2013

Empat lanun warga Indonesia curi enjin bot dicekup


Port Dickson: Polis daerah ini berjaya menumpaskan kegiatan sekumpulan lanun warga Indonesia yang aktif mencuri enjin dan bot fiber milik nelayan di perairan Kuala Lukut, di sini, sejurus tertangkapnya empat lelaki warga asing, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Abd Wahab Harun berkata, keempat-empat suspek yang dipercayai dari Pulau Rupat, Indonesia itu ditahan pasukan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) selepas melarikan tiga bot serta enjin milik nelayan di Jeti Zainal Kampung Kuala Lukut, Chuah, di sini. Katanya, suspek berusia antara 18 hingga 35 tahun itu turut menaiki bot curi sebelum melarikan tiga bot di jeti itu kira-kira jam 3.50 pagi, Rabu lalu.


“Tindakan suspek bagaimanapun disedari beberapa nelayan yang bertindak mengejar mereka, tetapi tidak berjaya berikutan keadaan gelap.

“Berikutan kehilangan tiga bot itu, satu laporan polis dibuat nelayan berkenaan pada hari sama dan secara kebetulan suspek yang cuba melarikan diri bertembung bot peronda pasukan KDRM yang kemudian menahan mereka,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam. Menurutnya, ketika penahanan itu, seorang daripada suspek cuba melarikan diri dan melanggar bot dinaiki anggota KDRM mengakibatkan satu das tembakan amaran terpaksa dilepaskan.


Katanya, pemeriksaan mendapati, empat lelaki itu bukan rakyat tempatan dan dipercayai dari Pulau Rupat, Indonesia.


“Mereka (suspek) sanggup merentasi perairan sejauh 60 kilometer semata-mata mencuri bot nelayan tempatan.

“Siasatan dilakukan turut menemui tiga parang dan satu tukul besi yang dijadikan senjata oleh suspek,” katanya.


Abd Wahab berkata, pihaknya percaya dengan tertangkapnya semua suspek dapat menyelesaikan beberapa kes curi bot nelayan yang dilaporkan hilang sejak beberapa bulan lalu.

“Kita (polis) dimaklumkan selepas mencuri, semua bot berkenaan akan dijual di Indonesia,” katanya memuji tindakan pantas pasukan KDRM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Negeri (APMM) yang berjaya menahan semua suspek. Katanya, suspek ditahan reman 14 hari sehingga 11 November ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379, Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) (c), Akta Imigresen 1959.

No comments:

Post a Comment