Search This Blog

Friday, November 29, 2013

Eh itu Aishah..., kata ibu

Eh itu Aishah..., kata ibuDari kiri, Hasnah dan Siti Zawiyah menaruh harapan agar Aishah kembali semula ke negara ini.

JELEBU – “Saya berharap pihak kedutaan Malaysia dapat campur tangan membawa Aishah pulang," kata Siti Zawiyah Othman, 55, anak saudara Siti Aishah Abdul Wahab, 69, yang menjadi mangsa perhambaan domestik selama 30 tahun di London.

Menurut Siti Zawiyah, dia difahamkan, sehingga kini dia difahamkan ibu saudaranya, Kamar Mahtum atau dipanggilnya Makmok masih belum dapat bertemu dengannya di London.

Malah, katanya, sehingga jam 1 petang semalam, Siti Zawiyah diberitahu berkemungkinan peluang ibu saudaranya untuk bertemu Aishah adalah tipis.

"Saya hanya difahamkan oleh bapa saudara saya bahawa Aishah kini ditempatkan di sebuah hospital di London kerana dipercayai menghidap penyakit strok dan dijaga dengan baik.

“Walaupun urusan membawa pulang Aishah sukar, tapi saya amat berharap sekurang-kurangnya pihak berkuasa di sana dapat memberi peluang kepada Makmok untuk bertemu dengannya. Sebab itu saya berharap pihak kerajaan kita dapat membantu menyelesaikan masalah ini sekaligus membawa pulang ibu saudara saya,” katanya.

Menurutnya, dia dan saudara mara lain bersyukur kerana dapat mengetahui wanita itu adalah ibu saudaranya yang hilang, bagaimanapun pihak berkuasa di negara terbabit tidak pula memaklumkan lokasinya, walaupun sudah disahkan bahawa wanita itu adalah Aishah.

“Tapi saya risau jika usaha Makmok ke sana untuk bertemu Aishah dan membawanya pulang menemui jalan buntu kerana pelbagai prosedur yang dikenakan kerajaan Britain,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Binjai, dekat sini semalam.

Siti Zawiyah berkata, Kamar hanya berada di London sehingga 4 Disember ini menerusi tajaan The Daily Telegraph bersama-sama dengan Hishamuddin Rais.

Sementara itu, Siti Zawiyah yang juga anak kepada Hasnah, 88, kakak sulung Aishah berkata, ahli keluarga tahu bahawa Aishah cenderung kepada ideologi berhaluan kiri kerana dia komited memperjuangkan nasib rakyat.

“Saya sendiri kali terakhir berjumpanya ketika berumur 11 tahun. Ketika masih masih kecil pun saya selalu bertanya dengan nenek kenapa makcik tidak menghantar surat.
“Kami tidak putus-putus mencari Aishah kerana kami tahu dia masih hidup. Semua ahli keluarga berharap kepulangannya di sini,” katanya.

Siti Zawiyah juga menyangkal dakwaan Aishah tidak menamatkan pengajian kerana tempat pengajiannya di London ada menghantar sijil pengajiannya menerusi pos di rumahnya di Gedung Lalang, Ampangan.

Dalam pada itu, Siti Zawiyah berkata, walaupun ibunya sudah lupa banyak perkara, namun dia juga berharap dapat bertemu dengan Aishah.
“Emak saya sudah pelupa kerana usianya sudah tua. Tapi bila dia tengok berita dalam televisyen dan gambar Aishah disiarkan dia akan kata ‘Eh itu Aishah…di manalah dia ambil gambar Aishah tu’,”katanya.

No comments:

Post a Comment