Search This Blog

Wednesday, November 13, 2013

Dua perompak larikan barang kemas RM400,000


SEREMBAN 12 Nov. - Dua perompak bersenjatakan pistol hanya mengambil masa kurang lima minit untuk melarikan empat dulang barang kemas dianggarkan bernilai RM400,000 dalam kejadian samun di sebuah kedai emas di Jalan Tuanku Hasan di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, kedua-dua suspek lelaki yang menaiki sebuah motosikal menyerbu masuk kedai emas berkenaan ketika pemiliknya mahu menutup perniagaan.
Pemilik premis tersebut, Tang Sai Foo, 41, berkata, ketika kejadian dia mahu menutup pintu kedai sebelum dua lelaki bertopi keledar meluru masuk sambil mengacukan sepucuk pistol.
Menurutnya, suspek kemudian mengarahkan dia bersama dua pekerja supaya diam sebelum menutup pintu premis berkenaan.
"Salah seorang suspek mengarahkan saya mengeluarkan empat dulang emas dari cermin pameran dan memasukkannya dalam sebuah beg.
"Mereka kemudiannya melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Sai Foo berkata, ini merupakan kali kedua kedainya yang terletak di tengah bandar ini disamun. Dalam kejadian pertama pada tahun 2008 dia kerugian hampir RM500,000.
"Saya tidak sangka kedai saya menjadi sasaran sekali lagi tetapi bernasib baik kerana saya dan dua pekerja tidak dicederakan," katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zainal Abu ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131112/je_16/Dua-perompak-larikan-barang-kemas-RM400000#ixzz2kUf5knUQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment