Search This Blog

Wednesday, November 13, 2013

Dua beradik lemas dalam parit


KIRI Lisa Qaisara & Danish Fauzan
SABAK BERNAM 13 Nov. - Dua beradik berusia tiga dan empat tahun ditemui mati lemas di dalam parit berhampiran rumah mereka di Kampung Parit Dua Banat di sini petang semalam.
Sebelum itu kehilangan Lisa Qaisara Syahindah Zulkifli, 3, dan abangnya, Danish Fauzan Zulkifli, 4, itu disedari oleh ayah mangsa, Zulkifli Abd. Samad, 49, kira-kira pukul 4 petang, semasa sibuk menyediakan tempahan makanan untuk satu jamuan sekolah berdekatan.
Zulkifli yang bekerja sebagai peniaga kedai makan kemudian meminta anak lelaki sulungnya berusia 19 tahun mencari kedua-dua mereka di sekeliling rumah mereka tetapi masih gagal.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Supritendan Noor Mushar Muhammad berkata, Zulkifli kemudian mencari kedua-duanya di kawasan parit dan akhirnya menemukan mayat Lisa Qaisara Syahindah dan tidak jauh dari situ, mayat Danish Fauzan pula ditemui kira-kira pukul 6 petang.
"Polis percaya kedua-dua mangsa terjatuh semasa bermain di situ selain mendapati tiada sebarang unsur jenayah. Pemeriksaan turut mendapati tiada kesan kecederaan dialami kedua-duanya.
"Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ), Sabak Bernam untuk dibedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ibu kanak-kanak malang itu, Sitini Sukardi, 41, berkata, sebelum kejadian, kedua-duanya yang merupakan anak keempat dan bongsu menjadi semakin rapat malah menunaikan solat maghrib secara berjemaah sebelum kejadian.
"Mereka ada meminta agar saya goreng ayam untuk makan tengah hari. Saya tidak menyangka itulah makanan terakhir yang dijamah oleh Lisa Qaisara dan Fauzan," katanya dalam nada sebak.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131114/dn_09/Dua-beradik-lemas-dalam-parit#ixzz2kbCvMscN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment