Search This Blog

Thursday, November 28, 2013

Dituduh bunuh pelatih CCRC

Dituduh bunuh pelatih CCRCTertuduh ketika dibawa ke mahkamah majistret, semalam.


KOTA TINGGI - Dua individu dihadapkan ke mahkamah majistret, di sini semalam, atas tuduhan membunuh seorang pelatih Cure & Care Rehabilitation Centre (CCRC) di Bandar Perani, pada 14 November lalu.

Tertuduh, Darmaji Darwe, 24, dan Mohsin Jamari, 31, didakwa di mahkamah atas pertuduhan melakukan pembunuhan ke atas Mohamad Ezanee Zakaria, 38, pada jam 4.30 petang di pusat latihan tersebut.

Kedua-dua mereka dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sementara itu di mahkamah yang sama, lima individu mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Mazana Sinin, atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Mohamad Ezanee dengan menggunakan paip polivinil klorida (PVC).

Mereka yang dituduh ialah Ahmad Sukri Anaz Dahalan, 24; Ahmad Fakhrul EzzuddenSuhaimi,27; Mohamad Fadzly Apandi,34; Rifdi Syazwy Ramli,24, dan Mohd Hanif Nawawi, 34.

Semua mereka didakwa di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Setelah mendengar rayuan, Mazana membenarkan ikat jamin RM10,000 dikurangkan kepada RM6,000 setiap seorang ke atas lima tertuduh tersebut dengan seorang penjamin.

Beliau turut menetapkan 24 Disember ini, untuk sebutan semula kedua-dua pertuduhan tersebut sementara menunggu laporan penuh hasil bedah siasat dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Natassa Zaini, manakala peguam, Siti Nadia Yahya mewakili Ahmad Sukri Anaz Dahalan, dan peguam Aziz Shukor pula mewakili Mohamad Fadzly Apandi sementara tertuduh yang lain tidak diwakili peguam.

No comments:

Post a Comment