Search This Blog

Thursday, November 28, 2013

Ditikam sepupu selepas bertengkar dengan ibu

Ditikam sepupu selepas bertengkar dengan ibu Mangsa yang parah dihantar ke HRPZ II untuk rawatan lanjut.

RANTAU PANJANG - Seorang lelaki parah apabila ditikam tujuh kali oleh sepupu sendiri dekat Pengkalan Haram Lubok, di sini, kira-kira jam 7.30 pagi semalam.

Bapa mangsa, Mohd Zain Mohd Nor, 59, berkata, pertikaman lidah sehari sebelum kejadian, membawa kepada pertikaman di dada, perut dan peha mangsa.

Menurutnya, pertengkaran antara ibu suspek dengan anaknya, Mohd Nafiza, 34, bermula di kedainya namun berjaya dileraikan saudara terdekat.

“Mungkin itu yang mendorong suspek menikam Nafiza dan tiada yang sanggup meleraikan pergaduhan mereka kerana suspek bersenjatakan pisau.

“Mujur tikaman tidak mengena organ penting seperti paru-paru dan jantung, jika tidak dia pasti tidak sempat diselamatkan,” katanya.

Mohd Zain mengakui kesilapan yang dilakukan anaknya, namun dia kesal kerana saudaranya mengambil tindakan sendiri dan membelakangkan undang-undang.

Sementara itu, Ketua Polis Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, usaha mencari suspek masih dijalankan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada masalah keluarga dan berlanjutan sehingga berlaku pertengkaran dekat Pengkalan Haram Lubok.

“Kita masih menjalankan siasatan di kawasan kejadian dan senjata yang digunakan masih belum ditemui.

“Mangsa yang mempunyai tiga anak kini dilaporkan stabil dan dirawat di Hospital Pasir Mas, sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II),” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah menggunakan senjata tajam.

No comments:

Post a Comment