Search This Blog

Wednesday, November 13, 2013

Ditampar berkali-kali, diugut suami dengan pisau


13 November 2013

KUALA TERENGGANU - Hasrat murni seorang surirumah mengajak suaminya berbincang secara baik bagi menyelesaikan masalah rumah tangga mereka, bertukar mimpi ngeri apabila dia ditampar oleh lelaki itu, dalam satu kejadian di Kampung Padang Pisang, Jalan Kelantan, di sini, Ahad lalu.

Tidak cukup dengan itu, dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa, 27, turut diugut akan dicederakan oleh suaminya, 30-an, dengan menggunakan sebilah pisau.

Menurut sumber, insiden itu berlaku selepas mangsa mengambil keputusan mengajak suspek berbincang bagi menyelesaikan masalah rumah tangga mereka yang sejak belakangan ini agak dingin.

“Mangsa telah cuba memujuk suspek agar dapat berbincang secara baik bagi mencari jalan terbaik menyelesaikan masalah rumah tangga mereka, namun, suspek enggan memberi kerjasama dengan tidak menghiraukan pujukan mangsa.

“Sikap acuh tidak acuh suspek telah menyebabkan keadaan semakin ‘panas’ sebelum pasangan suami isteri itu mula bertengkar mulut menyalahkan antara satu sama lain,” katanya.

Sumber berkata, suspek bagaimanapun gagal mengawal perasaan amarahnya lalu menampar muka mangsa berkali-kali sehingga meninggalkan bekas.

“Masih tidak berpuas hati, suspek telah mengambil sebilah pisau di dapur dan mengacukannya ke arah mangsa sambil mengugut akan mencederakan mangsa dengan pisau berkenaan.

“Mangsa yang terkejut dengan tindakan suspek hanya mampu mendiamkan diri, sebelum suaminya itu mengambil beg pakaian miliknya dan meninggalkan kediaman mereka,” katanya.

Jelas sumber, mangsa yang tidak berpuas hati diperlakukan sebegitu oleh suaminya serta bimbang akan keselamatan dirinya pada masa akan datang, mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Batu Rakit, di sini, beberapa jam selepas kejadian.

Susulan kejadian, mangsa mengalami sakit di bahagian kedua belah pipinya dan seluruh badan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

No comments:

Post a Comment