Search This Blog

Monday, November 4, 2013

Diganggu ilmu perabun

Diganggu ilmu perabunSaindon terpaksa mengunci pintu rumah menggunakan mangga kerana bimbang keselamatan diri.

REMBAU – Bimbang kemungkinan diancam gangguan sihir, seorang wanita di Kampung Sri Kendong, dekat sini tinggal dalam rumah yang berkunci mangga seolah-olah berada dalam penjara.

Saindon Abdullah, 60, seorang ibu tunggal berbuat demikian kerana mendakwa dirinya terkena gangguan ilmu perabun sehingga menyebabkan dia yang pernah menerima Anugerah Ibu Tunggal Berjaya peringkat daerah Rembau pada 2011, hidup dalam ketakutan.

Akibatnya,  dia sentiasa berada gelisah dan tertekan sehingga kegiatan pertanian dan penternakan yang diusahakannya sejak 2009 kini terbiar begitu saja.

“Pada tahun 2010, memang sudah ada sedikit gangguan, namun pada tahun ini gangguan itu semakin teruk sehingga saya terpaksa mengunci pintu menggunakan mangga.

“Malah, di ruangan beranda rumah pun, saya  ada memasang besi di sekeliling bagi mengelak mana-mana individu tidak bertanggungjawab masuk ke rumah tanpa disedari,” katanya.

Menurutnya, pernah dia mendengar bunyi orang berjalan di atas atap rumah, tapi apabila diperiksa, tiada orang di situ.

Selain itu, lebih tertekan apabila ikan ternakannya sebanyak satu tan mati dipercayai diracun pihak tidak bertanggungjawab.

“Dulu rumah saya ini ditanam dengan pelbagai jenis sayur-sayuran untuk dijual.  Bagaimanapun, saya kini hanya duduk di rumah sahaja dengan keadaan rumah sentiasa berkunci mangga seakan-akan penjara," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya.

Susulan masalah berkenaan, katanya, dia sudah beberapa kali membuat laporan polis, bagaimanapun belum berjaya mengesan mana-mana individu yang disyaki terlibat.

Menurutnya, jika masalah itu tidak selesai, dia menghadapi masalah untuk melunaskan hutang Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun) serta institusi perbankan lain kerana gagal memperolehi pendapatan.

Dalam pada itu, Saindon turut mencari mana-mana pihak yang punyai kepakaran untuk mengubati gangguan dihadapinya supaya dia dapat hidup seperti sediakala.

No comments:

Post a Comment