Search This Blog

Sunday, November 3, 2013

Deepavali: Dua sahabat maut nahas


KUALA LUMPUR 2 Nov. - Dua sahabat tidak sempat menyambut Deepavali hari ini, apabila maut selepas motosikal yang dinaiki terbabas lalu merempuh pokok di Jalan Tun Sambanthan di sini awal pagi ini.
Kejadian berlaku pukul 3.40 pagi ketika mangsa, V.Jayaramen, 22, dan A. Fetrik, 25, dalam perjalanan menuju ke ibu negara selepas keluar minum dan mahu pulang ke rumah menyambut Deepavali.
Tiba di tempat kejadian, motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang Fetrik tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas melanggar sebatang pokok besar di hadapan sebuah stesen minyak.
Rempuhan kuat pada pokok tersebut menyebabkan kedua-dua mangsa mati di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning berkata, polis tidak menolak kemungkinan motosikal itu ditunggang dengan laju sebelum terlibat kemalangan.
"Siasatan awal mendapati, motosikal dinaiki dua sahabat itu ditunggang dengan laju sebelum terbabas merempuh pokok di tepi jalan.
"Mangsa yang tercampak dalam kejadian itu, mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat dan dituntut oleh keluarga masing-masing sekitar pukul 11 pagi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131103/je_02/Deepavali-Dua-sahabat-maut-nahas#ixzz2jWVf1mYB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment