Search This Blog

Saturday, November 16, 2013

Dadah disorok dalam kedai pajak gadai

Dadah disorok dalam kedai pajak gadaiZulkifli (kanan), Noor Rashid (dua, kanan) menunjukkan dadah dan wang tunai yang dirampas. GEORGETOWN - Pemilik kedai pajak gadai berusia 44 tahun ditahan kerana menyorok dadah jenis syabu dan ketamin di dalam premisnya di Taman Usahaniaga, Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah dua hari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata,
dadah itu dipercayai dibawa masuk dari China dengan menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum diedarkan ke negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.

Beliau berkata, dalam serbuan kira-kira jam 10.40 malam, 13 November lalu, polis merampas 16.325 kilogram (kg) syabu yang disorok dalam dua silinder besi, 1.109 kilogram ketamin dan satu silinder kecil mengandungi satu bungkusan syabu seberat 92 gram.

"Pemeriksaan lanjut ke atas sebuah kereta mewah miliknya menjumpai lima silinder besi berisi 40 bungkusan besar dan dua bungkusan kecil syabu seberat 40.898 kg.

"Harga pasaran syabu dianggarkan RM11.5 juta dan ketamin RM20,000," katanya pada sidang media di Pusat Media, Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah  Kastam Pulau Pinang, Datuk Zulkifli Yahya, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, A Thaiveegan dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri,  Superintendan S Batumalai.

Menurutnya, polis turut menemui dua pistol tiruan, barang kemas, empat kereta mewah dan wang tunai RM954,700 yang disembunyikan dalam silinder dipercayai hasil peniagaan dadah.

"Suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Siasatan awal mendapati sindiket yang dianggotai lelaki terbabit beroperasi sejak beberapa tahun lalu dan dipercayai mempunyai hubungan dengan sindiket dadah antarabangsa," katanya.

Noor Rashid berkata, kejayaan mematahkan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah antarabangsa di negeri ini adalah hasil maklumat dan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta orang awam.

No comments:

Post a Comment